Tuesday, January 10, 2012

BUTLER UBAH PROMOSI BARU

BUTLER

KOTA BHARU – Tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah pada Sabtu lalu, memaksa Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler  merombak kembali formasi pasukan bagi menghadapi pasukan Lions XII dalam aksi perlawanan pembukaan Liga Malaysia 2012 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.

Sambil menyifatkan kegagalan mempertahankan kejuaraan dalam perlawanan Sumbangsih itu merupakan satu tamparan hebat kepada pasukannya, Butler melaungkan keyakinan betapa Kelantan mampu mencipta satu keputusan positif meskipun bakal beraksi di atas padang rumput tiruan dalam perlawanan malam ini.

“Kita sudah bersedia menghadapi pasukan Lions XII. Malah kita sudah menjalani latihan di atas padang rumput tiruan sepanjang berada di Kuala Lumpur. Petang ini (semalam) juga kita akan turun menjalani latihan selama 45 minit di Stadium Jalan Besar bagi menyesuaikan diri dengan padang tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita akan bermain dengan formasi baru 4-4-2 bagi menghadapi mereka nanti. Mohd Daudsu (Jamaluddin) dan Mohd Nurul Azwan Roya hampir pasti diturunkan. Gandingan Norshahrul Idlan (Talaha) dan Mohammed Ghaddar pula bakal menerajui jentera serangan kita.

“Saya tidak bimbang dengan posisi tengah dan serangan kita. Masalah kita ialah di benteng pertahanan selepas kehilangan Azizi (Matt Rose). Namun saya masih percaya kepada komitmen pemain muda seperti Nik Mohd Shahrul Azim (Ab Halim) yang boleh beraksi dengan baik meskipun cetek pengalaman,” katanya.

Menurut Butler, beliau masih menaruh kepercayaan kepada Mohammed Ghaddar untuk disenaraikan selaku penggempur utama The Red Warriors dalam perlawanan malam ini meskipun pemain tersebut dikritik hebat oleh segelintir penyokong kerana mempamerkan aksi di bawah tahap keupayaan sebenar pada pertemuan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Pemain Kelantan tidak membuang masa sejurus tiba di Singapura sebaliknya terus turun menjalani latihan selama 45 minit di Stadium Jalan Besar, semalam.

Menyentuh mengenai kekuatan pasukan Lions XII, Butler yang sempat mengintip corak persembahan pasukan lawan ketika bertemu dengan ATM dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini menegaskan beliau tetap menghormati kemampuan yang dibimbing oleh bekas pemain kebangsaannya, V Sundramoorthy.

“Saya tahu mereka diperkuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan seperti Baihakki (Khaizan), Mohamad Shahril (Ishak) selain pemain naturalisasi Agu Casmir yang sudah pasti memberikan bakal memberikan masalah kepada benteng pertahanan kita.

“Namun saya tegaskan kita datang ke sini (Singapura) bukan untuk kalah. Penting bagi kita mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama. Liga Malaysia baru bermula malam ini dan masanya sudah tiba untuk buktikan setelah tewas kepada Negeri Sembilan tempohari,” katanya.

No comments:

Post a Comment