Monday, January 16, 2012

RED WARRIOR REHATKAN MATYO

KOTA BHARU – Selepas Lions XII, pasukan The Red Warriors berazam mahu menjadikan pasukan PKNS FC mangsa terbaru apabila kedua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
 
Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler, berkata beliau akan melakukan perubahan taktikal terbaru dengan merehatkan beberapa pemain termasuk penyerang terbilang, Norshahrul Idlan Talaha bagi menghadapi pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘Semut Api’ itu.
 
“Saya mungkin merehatkan beberapa pemain termasuk penyerang, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dalam perlawanan malam ini. Kita mesti faham dia kena main dalam banyak perlawanan termasuk bersama pasukan kebangsaan. Jadi dia perlu berehat dan kita beri peluang kepada pemain lain untuk diturunkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
 
“Jangan risau, kita masih ada pemain lain seperti S Chanturu, Mohd Nurul Azwan (Roya) dan Denny (Antwi). Bukan maksud saya memperkecilkan kemampuan pasukan PKNS FC tetapi saya percaya kepada kekuatan yang ada pada pemain dalam pasukan kita.
 
“Sama ada penyokong mengkritik tindakan saya, itu saya tidak peduli. Saya hanya fokus kepada kerja dan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan pasukan kita menang malam ini,” katanya.
 
Mengulas mengenai lawan yang bakal dihadapi, Butler mengakui tidak banyak yang diketahui mengenai kekuatan pasukan berstatus kelab itu sebaliknya beliau memberi amaran kepada pemainnya supada berwaspada dengan ancaman daripada pendatang baru Liga Super musim ini.
 
“Saya tak tahu sejauh mana kekuatan mereka. Saya cuba dapatkan rakaman video atau maklumat lain serba sedikit mengenai pasukan tersebut hari ini. Yang pasti saya mahu pemain kita mencatatkan kemenangan sebagai hadiah kepada penyokong apabila kita beraksi buat pertama kali di Kota Bharu malam ini.
 
Sementara itu, Butler turut berharap para penyokong tidak terlalu awal mengkritik persembahan dua pemain importnya, Mohammed Ghaddar dan Denny Antwi memandangkan saingan liga baru sahaja memasuki perlawanan kedua malam ini.
 
“Saya faham kalau kedua-dua mereka main tak bagus, mereka berhak di kritik. Saya seorang jurulatih dan bertanggungjawab membantu dia. Tapi kalau peminat asyik mengkritik itu tidak membantu mereka sebenarnya.
“Berilah masa kepada mereka. Mereka pemain yang rajin dan berdisiplin. Ghaddar sendiri meletakkan sasaran mahu menjaringkan seberapa banyak gol untuk Kelantan. Saya tahu gandingan Ghaddar, Norshahrul Idlan dan Antwi sentiasa bekerja keras untuk pasukan kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment