Sunday, January 8, 2012

KARATHU PILIH KELANTAN SEBAGAI JUARA

Penyerang Kelantan Norshahrul Idlan Talaha (kiri) diasak keras oleh pemain pertahaan Selangor, Mohd Asrarudin Putra Omar dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam pada 28 Januari tahun lalu. Dalam perlawanan itu Kelantan muncul juara setelah mengatasi Selangor 2-0.
 
KOTA BHARU – ‘Saya pilih Kelantan’ Begitulah komen ringkas bekas Ketua Jurulatih The Red Warriors musim lalu, Datuk M Karathu ketika diminta mengulas mengenai perlawanan Sumbangsih, pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok.
 
Sambil menyifatkan bekas pasukannya memiliki segala-galanya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, jurulatih berusia 68 tahun itu menjangkakan Kelantan dapat mengatasi Negeri Sembilan seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kedua-dua berturut-turut.
 
“Saya tahu kekuatan pasukan Kelantan pada musim ini jauh berbeza berbanding musim lalu. Mereka memiliki sebuah pasukan yang mantap dengan kehadiran ramai pemain yang berkualiti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Anda lihatlah pada musim ini, Kelantan mempunyai ramai pemain berkaliber dan mampu menjaringkan gol. Di segenap posisi semuanya mantap belaka dan tidak salah untuk saya memilih Kelantan sebagai pemenang pada perlawanan malam esok.
 
“Saya perhatikan dua pemain import Kelantan iaitu Mohammed Mahmoud Ghaddar dan Denny Agyare Antwi cukup merbahaya. Ditambah pula kehadiran semula Indra Putra (Mahayuddin), Mohd Norfarhan (Muhammad) dan Azizi (Matt Rose) yang sudah pasti menyuntik kekuatan pasukan ini.
 
Menurut Karathu, kelebihan sudah pasti berpihak kepada pasukan Kelantan memandangkan Negeri Sembilan dilihat agak tempang setelah beberapa pemain tonggak pasukan mereka memilih untuk berhijrah ke pasukan lain pada musim ini.
 
“Namun pada masa yang sama pemain Kelantan juga harus berwaspada. Pasukan Negeri Sembilan sudah pasti mempunyai semangat yang membara untuk memburu kejuaraan baru setelah mereka menjulang Piala Malaysia pada musim lalu.
 
“Jangan pandang mudah percaturan taktikal oleh jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah itu. Mereka sudah pasti mempunyai perancangan yang tersendiri untuk perlawanan ini.
 
“Tetapi saya percaya jurulatih Kelantan, Peter Butler juga mempunyai percaturan tersendiri bagi menghadapi Negeri Sembilan malam esok. Saya menyaksikan perlawanan menentang Persebaya FC baru-baru ini, saya tahu Kelantan masih boleh bermain dengan cemerlang meskipun beraksi dengan sembilan pemain pada ketika itu,” katanya.
 
Untuk rekod, Karathu menjadi jurulatih pertama membawa Kelantan muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah pada tahun lalu setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam.

1 comment: