Sunday, January 1, 2012

KAFA TETAPKAN KPI MUSIM DEPAN

Annuar (duduk, tengah) memperkatakan mengenai KPI yang perlu dicapai oleh semua pemain dan pegawai pasukan. Turut kelihatan ialah Zainuddin (kiri) dan Makhtar (kanan).

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua pemain dan pegawai pasukan bola sepaknya untuk mencapai sasaran merangkul seberapa banyak kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula 7 Januari ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KPI tersebut bertujuan untuk menentukan haja tuju pasukan The Red Warriors bagi mengharungi saingan yang lebih mencabar musim depan.

“Kita telah tetapkan KPI kepada jurulatih, Peter Butler dan beliau perlu tahu apa yang harus dilakukan. Beliau tidak boleh mencapai kurang daripada apa yang telah dilakukan oleh jurulatih sebelum ini. Pada tahun ini Kelantan menjadi juara Liga Super, jadi kita mahu pertahankan kejuaraan tersebut.

“Dalam saingan Piala FA musim ini kita muncul naib juara, tahun depan kita mahu jadi juara. Untuk Piala Malaysia kita mahu kembali di pentas akhir di Bukit Jalil. Sasaran ini perlu dipenuhi dalam tempoh dua tahun sepanjang beliau memegang jawatan selaku jurulatih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jersi, barangan cenderamata, sistem tempahan tiket dalam talian dan logo baru pasukan TRW di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), semalam.

Menurutnya, pihak pengurusan pasukan diminta menyediakan laporan mingguan untuk memantau persembahan pemain sama ada mereka mencapai KPI yang ditetapkan atau tidak.

“Mana-mana pemain TRW yang beraksi di bawah tahap sebenar akan diberikan notis dan surat amaran bertulis yang akan dikeluarkan oleh jawatankuasa pasukan.

“Semua pemain termasuklah pegawai pasukan harus bekerja keras untuk mencapai KPI seperti yang ditetapkan oleh pihak persatuan.
Dalam pada itu, Annuar memberitahu, beliau menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas bahu pengendali, Peter Bulter dan barisan pemainnya untuk mencongak kejayaan The Red Warriors untuk musim 2012.

Beliau berkata, pihaknya telah memberikan yang terbaik pasukan termasuklah memilih jurulatih yang kaya dengan pengalaman untuk mengemudi The Red Warriors (TRW).

“Pihak pengurusan telah memberikan segala-galanya kepada pasukan. Kita pilih jurulatih yang terbaik dan mempunyai pengalaman luas diperingkat antarabangsa. Begitu juga dengan pemain import yang dipilih dan tempatan yang kita yakin mampu membentuk gandingan mantap untuk pasukan mengharungi cabaran musim 2012 ini.

“Pengurusan hanya boleh beri rempah ratus dan yang akan bertanggungjawab untuk menentukan bagaimana untuk memasak makanan tersebut adalah jurulatih,” katanya.

No comments:

Post a Comment