Sunday, January 1, 2012

KAFA PERKENALKAN JERSI BARU TRW

Annuar (tiga,kanan) bersama pemain yang memperagakan set jersi skuad the Red Warriors yang akan dipakai pada musim hadapan.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperkenalkan set jersi terbaru berjenama Warrriors yang akan dipakai dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula 7 Januari ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, setelah menimba pengalaman buat beberapa ketika tiba masanya pihak Kafa mengeluarkan jenama sendiri untuk dikomersialkan dalam pertandingan bola sepak tempatan.

“Kita rasa tempoh percubaan untuk menjenamakan jenama Warriors sudah berakhir dan kita sudah bersedia mengeluarkan sendiri barangan ini seperti jersi pasukan dan juga barangan lain.

“Kita berharap para peminat dapat memberikan sokongan kepada pasukan dengan membeli barangan asli dan bukan yang diciplak. Paling penting kita minta kerjasama daripada pihak supaya tidak menciplak barangan rasmi Kafa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jersi,  Merchandise, Ticketing Online dan logo pasukan Kelantan 2012 di Dewan Utama, Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) di sini semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri, Datuk Makhtar Mustapha. Turut hadir ialah Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah, naib-naib presiden dan wakil penaja.

Hampir tiga ribu penyokong setia The Red Warriors menyerbu Dewan Utama KTC untuk melihat lebih dekat jersi baru skuad Kelantan yang mula dipakai dalam perlawanan persahabatan menentang Terengganu malam tadi.

Menurut Annuar, mana-mana pihak yang bercadang untuk menggunakan nama Warriors bagi tujuan perniagaan perlu mendapatkan kebenaran secara rasmi daripada pihaknya.

“Kalau mereka (peniaga) bercadang hendak gunakan nama Warriors, mereka kena datang berbincang dengan Kafa. Mereka perlu membayar royalti kepada kita memandangkan mereka menggunakan jenama tersebut.

“Kita tidak menyekat pendapatan cuma mereka mestilah menggunakan saluran yang betul. Malah kita mengalu-alukan penglibatan mereka dan ini termasuklah apabila kita melantik seramai 44 vendor yang akan memasarkan barangan rasmi Kafa selepas ini.

“Selain itu, kita juga bersedia melantik lebih ramai vendor di luar negeri ini termasuk di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar yang lain. Malah pada hari ini kita juga turut melancarkan secara rasmi dua van bergerak yang dikenali sebagai Skuad Warriors .

“Skuad Warriors ini akan bergerak ke kawasan pedalaman untuk memasarkan pelbagai produk keluaran Kafa selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment