Tuesday, January 3, 2012

BUTLER RANGKA STRATEGI AMPUH

Penyerang import Kelantan , Denny Antwi (dua,kanan) dilihat tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan oleh Butler

KOTA BHARU – Jagoan Pantai Timur, Kelantan bakal menyajikan strategi ampuh bagi menghadapi cabaran pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Sumbangsih pada 7 Januari ini.
 
Meskipun enggan mendedahkan strategi tersebut, namun Ketua Jurulatihnya, Peter Butler berkata, segala perancangan sudah berada di dalam benak fikirannya bagi menghadapi pasukan yang terkenal dengan jolokan Skuad Jang itu.
 
“Sudah tentu kita mahu mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah yang pernah dimenangi oleh Kelantan pada tahun lalu. Saya tidak boleh mendedahkannya dan yang pasti ia merupakan perancangan terbaik yang akan dilakukan oleh saya apabila bertemu Negeri Sembilan nanti.
 
“Saya juga perlu mempersiapkan pasukan bagi menghadapi menentang pasukan Lions XII pada perlawanan pertama Liga Malaysia pada 10 Januari ini. Malah malam kelmarin, saya sudah pergi menonton corak permainan pasukan itu yang bertemu ATM dalam perlawanan persahabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang Kelantan di Kota Bharu malam semalam. Aksi perlawanan yang masih terikat seri tanpa jaringan itu walaubagaimanapun terpaksa dihentikan pada m-35 akibat hujan lebat yang turun sepanjang perlawanan itu.
 
Menurut jurulatih berusia 45 tahun itu, tempoh rehat selama enam hari akan dipergunakan sebaiknya bagi memperkemaskan jentera pasukan setelah pemainnya mengalami kepenatan rentetan mengharungi perlawanan demi perlawanan dalam tempoh dua minggu sebelum ini.
 
“Saya bagi cuti rehat dua hari kepada pemain sebelum mereka menyambung kembali latihan lusa (Selasa). Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain setakat ini.
 
“Kita masih ada masa lagi dan saya perlu duduk berbincang untuk menilai setiap prestasi pemain. Bagaimana mereka bekerja dengan saya setiap hari itu merupakan satu perkara yang cukup penting kepada saya sekarang,” katanya.
 
Mengulas mengenai perubahan taktikal yang dilakukan oleh beliau sejak mengambil alih tugas selaku Ketua Jurulatih Kelantan awal November lalu, Butler ternyata tidak mempedulikan sebarang komen negatif yang dilemparkan ke atas beliau.
 
“Anda mesti tahu kesebelasan utama pasukan setiap perlawanan pasti berubah formasinya. Saya tidak boleh janjikan pemain yang sama diturunkan sepanjang musim ini.
 
“Mereka (peminat) mesti tahu pemain yang bikin sistem dan bukan sistem yang bikin pemain. Perubahan formasi itu satu perkara biasa dalam bola sepak dan saya tahu pemain saya berusaha bersungguh-sungguh menerima perubahan dilakukan oleh saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment