Saturday, January 28, 2012

HANYA SALAH FAHAM - KAFA



KOTA BHARU – ‘Hanya salah faham’ Isu kegagalan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat melaporkan diri bagi menjalani latihan bersama skuad Olimpik dianggap selesai setelah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tampil menjernihkan keadaan semalam.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah memberikan pelepasan kepada Khairul Fahmi atau dikenali Apex bagi menyertai latihan skuad Olimpik tetapi harus kembali bersama pasukan Kelantan 48 jam sebelum perlawanan menentang Kuala Lumpur semalam.

“Beliau sepatutnya boleh melaporkan diri pada 25 Januari (kelmarin) di Wisma FAM tetapi menyangka perlu melaporkan diri selepas perlawanan Kelantan menentang Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

“Saya meminta pihak pengurusan Kelantan dan Apex sendiri menghubungi Ketua Jurulatih Skuad Olimpik, Ong Kim Swee bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik demi kepentingan bersama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media ekoran kegagalan penjaga gol berusia 23 tahun itu melaporkan diri bagi menjalani sesi latihan menghadapi perlawanan Kumpulan C Kelayakan Olimpik menentang Bahrain pada 5 Februari depan.  

Difahamkan Khairul Fahmi sukar dilepaskan oleh Kelantan bagi menghadapi Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu, Sabtu ini meskipun Kim Swee dilaporkan memberi pelepasan kepada enam pemain luar termasuk Apex pulang sehari sebelum perlawanan Liga Super Sabtu ini.  

Sementara itu Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim berkata, masalah komunikasi yang terputus ekoran cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina menjadi punca berlaku salah faham di sebalik kegagalan penjaga gol tersebut melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik itu.


“Di Kelantan cuti hujung minggu kita jatuh pada Jumaat dan Sabtu sementara di Kuala Lumpur cuti panjang bermula daripada hari Sabtu hingga Selasa sempena sambutan perayaan tersebut. Sedangkan kita menerima berita mengenai Apex perlu melaporkan diri bersama skuad Olimpik pada pagi Rabu.

“Kita cuba mendapatkan tiket penerbangan bagi membolehkan beliau menyertai latihan pada hari itu juga tetapi malangnya semua penerbangan penuh. Jadi hari ini (semalam) kita sudah mendapatkan tiket penerbangan bagi membolehkan beliau ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Apex ketika dihubungi mengesahkan akan melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik di Wisma FAM setelah majikannya berjaya mendapatkan tiket penerbangan tengah hari semalam.

No comments:

Post a Comment