Wednesday, January 25, 2012

AMARAN KERAS UNTUK PEMAIN MUDA

MOHD YUSRI

KOTA BHARU –  Mana-mana pemain skuad Piala Presiden Kelantan yang gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti yang ditetapkan oleh Persatuan  Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal berdepan dengan penyingkiran pada musim ini.

Itu amaran keras yang disuarakan oleh Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail kepada pemainnya menjelang sepak mula saingan Liga Presiden yang akan bermula pada 6 Februari depan.

“Saya ingatkan kepada semua pemain walaupun sudah didaftarkan tetapi sekiranya gagal mencapai KPI yang ditetapkan, mereka boleh digugurkan pada bila-bila masa dan digantikan dengan pemain lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya tidak akan berkompromi mengenai perkara ini. Kita tidak mahu mereka berada dalam keadaan selesa sedangkan tidak menyumbang apa-apa kepada kejayaan pasukan. Malah saya sudah memanggil empat pemain termasuk dua daripadanya pemain senior yang gagal meningkatkan prestasi mereka sebelum ini. 

“Mereka dalam perhatian pihak pengurusan pasukan dan perlu menjalani latihan insentif berbanding pemain lain. Selain itu kita mahu semua pemain mengubah sikap mereka, berdisiplin dan tidak beremosi ketika beraksi di padang sehingga mudah di layangkan kad oleh pengadil,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, sebagai pemain senior mereka sepatutnya menjadi contoh kepada pemain muda yang lain dengan menunjukkan sikap terpuji sama ada di luar atau pun di dalam padang.

Mengulas mengenai persiapan pra-musim selama lima hari di ibu Negara minggu lalu, Mohd Yusri berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan pemainnya meskipun dilihat masih tercari-cari rentak sebenar sepanjang menghadapi empat perlawanan persahabatan itu.

“Namun faktor kecergasan masih menghantui pasukan ini. Saya berharap masalah ini dapat di atasi sebelum sepak mula liga nanti. Pemain kena ingat, kita perlu mengharungi saingan liga dengan jadual yang cukup ketat pada musim ini dan saya mahu aspek kecergasan ditingkatkan.  

Pemain skuad Piala Presiden Kelantan berdepan dengan penyingkiran jika gagal mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan pasukan.

“Tempoh untuk ‘berbulan madu’ sudah pun berakhir. Perjuangan kita akan bermula pada 6 Februari nanti. Sebagai juara bertahan, sudah pasti tekanan berada di pihak kita untuk mempertahankan sekali lagi kejuaraan pada musim ini,” katanya.

Dalam perlawanan persahabatan pra musim baru-baru ini, skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warriors mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas PDRM, menang 3-1 ke atas Kuala Lumpur, seri 1-1 dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) namun tewas 0-1 kepada PKNS FC.

No comments:

Post a Comment