Thursday, December 1, 2011

JANG CALAR REKOD KELANTAN

Penyerang Kelantan, Antwi (tengah) terkepung dengan asakan dua pemain Negeri Sembilan dalam perlawanan yang berkesudahan skuad Jang menang 3-1, malam kelmarin.

NEGERI SEMBILAN 3
Jean-Emmanuel Effa Owona (m-53)
Idris Abdul Karim (m-63)
S Kunanlan (m-78)

KELANTAN 1
Denny Antwi (m-72)

SEREMBAN – Rentak cemerlang skuad Liga Super Kelantan dalam persiapan pra-musim bagi menghadapi saingan musim depan sedikit tercalar setelah tewas kepada juara Piala Malaysia musim ini, Negeri Sembilan 3-1 dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Beraksi dalam keadaan padang becak, ternyata aksi corak permainan kedua-dua pasukan tampak cukup terbatas terutamanya pada babak pertama meskipun pasukan tuan rumah menampilkan barisan terkuatnya dalam perlawanan itu.

Seawal m-17, pasukan tuan rumah hampir mendahului menerusi percubaan Shakir Ali berpunca gerakan menarik Ketua Pasukannya, Mohd Shukor Adan dan S Kunanlan sebelumnya namun sempat ditepis keluar penjaga gol Kelantan, Muhammad Syazwan Yusoff.

Pemain import terbaru dari Cameroon yang baru diuji, Albert Baning berjaya menjaringkan gol pertama untuk Kelantan pada m-34 namun jaringannya dibatalkan oleh pengadil perlawanan setelah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum itu.

Lapan minit babak kedua bersambung, pasukan Negeri Sembilan tidak perlu menunggu lama untuk pemain import dari Cameroon yang baru dimasukkan, Jean-Emmanuel Effa Owona memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan pertama untuk skuad. 

Pemain veteran Negeri Sembilan, Idris Abdul Karim menghukum kesilapan kesilapan awal penjaga gol Kelantan, Muhammad Syazwan menerusi rembatan kaki kirinya pada m-63 perlawanan untuk gol kedua pasukannya.

Namun Kelantan kembali merapatkan jurang menjadikan kedudukan 2-1 pada m-73 menerusi jaringan penyerang import, Denny Anwti yang bijak merampas bola berpunca kesilapan pemain pertahanan pasukan tuan rumah sendiri.

Negeri Sembilan bagaimanapun terus menjarakkan kedudukan apabila pemain kebangsaan, Kunanlan menjaringkan gol ketiga untuk pasukannya pada m-78 menerusi sepakan lambungan yang memerangkap Muhammad Syazwan di gawang gol Kelantan.

Kesebelasan utama pemain :

NEGERI SEMBILAN -  Mohd Farizal Marlias, Norhafiz Zamani Misbah, Qairul Anwar Roslani, Muhammad Shukor Adan (KP), Norismaidham Ismail, Mohd Shakir Ali, S Kunanlan, Marquen Ferreira, Shahurain Abu Samah, Mohd Zulfaizham Ismail, Mauro Silva,

KELANTAN -  Muhammad Syazwan Yusoff, Mohd Daudsu Jamaluddin, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohd Farisham Ismail, Mohamad Ab Aziz Ismail, Khairul Izuan Rosli, Muhd Badhri Radzi (KP), Albert Baning, Mohd Nurul Azwan Roya, S Chanturu, dan Denny Antwi.

No comments:

Post a Comment