Thursday, December 1, 2011

APEK HARUS JAGA NAMA BAIK

Datuk Abdul Fattah Mahmood

KOTA BHARU – “Beliau perlu menjaga nama baiknya sesuai selaku ikon bola sepak negara’ Demikian nasihat yang dilontarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada penjaga gol utama kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat disebalik pelbagai isu peribadi yang melanda beliau ketika ini.

Khairul Fahmi, 22, atau lebih dikenali dengan panggilan Apex terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk tuduhan meminum arak dalam satu majlis keraian bersama rakan-rakannya di ibu negara, baru-baru ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, selaku pemain bola sepak yang kini menjadi ikon orang ramai, Apex perlu mengekalkan disiplin terbaiknya bukan sahaja di padang tetapi juga di luar padang.

“Sebelum ini pun tok guru (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) selalu sebut kita kena jaga sahsiah dan akhlak. Kita bersimpati dengan masalah peribadi yang melanda beliau ketika ini dan berharap dia tabah menghadapinya.

“Mungkin sebelum ini kita terlepas (membuat teguran) dan saya berharap pihak media juga tampil membantu menyampaikan teguran dan nasihat kepada dia. Beliau bukan sahaja aset kepada Kelantan tetapi juga untuk Negara.

“Itu harapan kita semoga beliau bukan sahaja dapat menjaga imejnya sendiri tetapi keluarga dan negeri. Kita harap dapat beri sokongan kepada beliau untuk membantu mengekalkan ciri-ciri sahsiah yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam.

Sementara itu Abdul Fattah turut menjelaskan, rumah yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri kepada Apex di atas kejayaan beliau membantu skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki buat pertama kali penghujung tahun lalu juga sudah siap sepenuhnya dan akan diserahkan pada bila-bila masa.

“Rumah itu sudah siap dibina seratus peratus malah bersedia diduduki sepenuhnya. Cuma kita sedang mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis penyerahan kunci rumah tersebut kepada beliau.

Meskipun terpalit dengan pelbagai kontroversi sejak akhir-akhirnya ini, namun redibiliti Apex selaku penjaga gawang nombor satu negara tidak terjejas sebaliknya tetap utuh beraksi di padang termasuk terbaru membantu skuad bola sepak kebangsaan mempertahankan pingat emas pada Sukan Sea XXVI yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment