Tuesday, December 27, 2011

FAM PUTUSKAN TIDAK LAMA LAGI - AZMAN

Masalah lampu limpah di Stadium Sultan Muhammad IV dijangka dapat diatasi sekiranya kerja-kerja penyelarasan lampu dilakukan dalam masa terdekat.

KOTA BHARU – Teka-teki sama ada pasukan Kelantan terpaksa beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan  akan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka membuat keputusan mengenai perkara tersebut tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim berkata, segalanya terserah kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu yang akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Sekiranya masalah lampu limpah itu gagal diatasi, pihak FAM dijangka membuat keputusan dengan perlawanan Sumbangsih (Kelantan bertemu Negeri Sembilan) akan dilangsungkan di Lembah Kelang sementara perlawanan Liga Super bagi Kelantan selaku tuan rumah pula akan berlangsung pada sebelah petang.

“Namun saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) meletakkan masalah ini selaku perkara utama yang perlu diatasi dalam masa terdekat. Apabila kita terpaksa bermain sebelah petang, kesannya menjejaskan daripada segi sokongan peminat dan prestasi pasukan kita sendiri.

Stadium Sultan Muhammad IV antara beberapa gelanggang yang disenaraioleh pihak FAM tidak mematuhi peraturan pertandingan bola sepak untuk musim depan gara-gara tahap pencahayaan lampu limpah yang tidak mencapai had minima 900 lux.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru masalah tersebut, Azman berkata, beliau difahamkan oleh pihak perbadanan stadium tahap pencahayaan lampu limpah di stadium berusia 44 tahun sebenarnya mencukupi dan mematuhi sebagaimana yang disyaratkan oleh peraturan pertandingan bola sepak tempatan.

“Sebenarnya tidak perlu dinaiktaraf  pun dan kita hanya perlu menyelaras semula suluhan lampu limpah itu. Kita ada membawa perunding lampu dari Kuala Lumpur bagi menilai masalah ini. Masalah lampu limpah ini sebenarnya tidak memerlukan kajian yang lebih menyeluruh.

 “Ada lebih kurang empat atau lima lampu limpah di setiap penjuru stadium menyala tetapi tidak berfungsi dengan sepenuhnya. Kalau perkara ini dapat diatasi saya percaya masalah lampu limpah stadium kita akan berakhir.

“Kita sudah pemeriksaan dan kita dapati hanya satu tempat sahaja iaitu kawasan tepi padang berhadapan ‘scoreboard’ gagal mencapai tahap pencahayaan minima 900 lux. Tahap pencahayaan yang kita ukur  tempohari hanya sekitar 600 lebih lux. Insya ALLAH, kita berharap masalah ini dapat diatasi sebelum hujung bulan ini,” katanya.

1 comment:

  1. tok cekak abih2 isu lampu la.... facility la, gotu la goni la.....

    ReplyDelete