Wednesday, November 9, 2011

KELANTAN IKAT TIGA PEMAIN IMPORT

Ghaddar (kiri) menerima jersi Kelantan sebaik sahaja memeterai kontrak selama dua tahun di Doha, Qatar semalam.

KOTA BHARU – Penyerang antarabangsa Lebanon, Mohammed Mahmoud Ghaddar bakal menjadi senjata terbaru jentera serangan skuad The Red Warriors setelah pemain tersebut bersetuju mengikat kontrak selama dua tahun untuk bermain dengan Kelantan.

Selain Ghaddar, 27, skuad The Red Warriors juga turut mengikat kontrak dua lagi pemain iaitu Emmanuel Okine dan Denny Antwi, kedua-duanya dari Ghana yang beraksi diposisi tengah dan serangan untuk tempoh tiga tahun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata pemilihan Ghaddar disifatkan tepat pada masanya setelah memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh pihaknya.

“Kriteria utama kita ialah pemain import yang kita cari ialah mesti dibawah umur 30 tahun, mempunyai ketinggian lebih enam kaki selain sedang mewakili Negara. Dan pemilihan Ghaddar dianggap tepat bagi kita.

“Semalam, saya telah menghantar wakil ke Doha (Qatar) untuk menemui pemain tersebut dan segala urusan perundingan dengan pemain tersebut selesai dan beliau bersetuju mengikat kontrak selama dua tahun untuk beraksi dengan kita.

“Beliau merupakan pemenang kasut emas dan penjaring terbanyak dalam liga di negaranya. Beliau kini mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaannya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait dan Korea Selatan dan dijangka tiba di Malaysia pada 17 November ini.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan senarai penuh 28 pemain skuad Liga-M Kelantan untuk musim depan di Kafe The Red Warriors, di sini semalam. Hadir sama ialah Naib Presiden Kafa, Datuk Othman Zakaria dan Rosmadi Ismail serta Setiausaha Agung merangkap Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim.

Dalam majlis itu juga, Annuar turut mengumumkan tiga pemain Kelantan musim lalu iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose kembali ke pangkuan skuad bergelar The Red Warriors itu sekali gus menamatkan khabar angin yang tercetus sejak kebelakangan ini.

“Tiga pemain ini kembali memperkuatkan posisi pertahanan dan tengah setelah kita melepaskan Solehin Kanasian (Abdullah) dan pemain import yang diuji baru-baru ini, Jocip Bonasin (Croatia) atas sebab-sebab tertentu.

“Saya juga turut mengesahkan bekas penyerang Kedah musim ini yang berasal dari negeri ini, Azlan Ismail juga turut dipilih bagi memperkuatkan jentera serangan Kelantan meskipun pemain itu masih lagi belum pulih daripada kecederaan lututnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar juga turut mengumumkan skuad Kelantan akan menjalani latihan pra-musim di luar Kota Bharu selain menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Maldives di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 18 November ini, Balestier Khalsa FC di Singapura (23 November) dan ATM pada 26 November ini.

KAPSYEN GAMBAR : Annuar (tengah) mengumumkan senarai 28 pemain skuad Kelantan di Kafe The Red Warriors semalam. Hadir sama ialah Naib Presiden Kafa, Othman Zakaria (kiri) dan Setiausaha Agung merangkap Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim (kanan).

No comments:

Post a Comment