Tuesday, September 6, 2011

RED WARRIORS SEDIA PERTAHANKAN

KARATHU

KELANTAN – Tidak lengkap rasanya bagi skuad bergelar The Red Warriors menutup tirai Liga Malaysia musim ini tanpa merangkul Piala Malaysia.

Setelah berjaya memenangi kejuaraan buat pertama kali sejak 89 tahun pada musim lalu, skuad kendalian Datuk M Karathu ternyata kian dicemburui apatah lagi berjaya menjulang Piala Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah musim ini.

Sekali pun dilabelkan pasukan pilihan namun tugas berat menanti anak buah Karathu dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Diundi bersama Johor FC, KL Felda United FC dan Sarawak, ramai yang beranggapan Kelantan bakal mendapat laluan mudah untuk mara ke saingan suku akhir namun Karathu jelas tidak mahu terlalu yakin sebaliknya tetap berpijak di bumi yang nyata.

Memulakan persiapan sejak 4 Ogos lalu, Kelantan bakal kehilangan khidmat dua pemain tonggak iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Muhammad Izuan Salahuddin yang terpaksa menggalas tugas bersama skuad Olimpik kebangsaan.

Seperti pasukan lain, Kelantan juga tidak ketinggalan ‘meminjam’ pemain lain apabila mendapatkan khidmat dua pemain Pahang, Azammuddin Mohd Akil dan R Surendran. Namun nasib berbeza dialami kedua-dua pemain ini, ketika Azammuddin atau lebih terkenal dengan panggilan ‘Alex’ kian memikat hati pihak pengurusan, Surendran pula terpaksa disisihkan selama tiga minggu angkara kecederaan retak buku lali, baru-baru ini.

Begitupun, Karathu jelas tidak mahu terlalu mengharapkan sumbangan kedua-dua pemain tersebut tatkala aksi pemain tempatan yang lain tidak kurang hebatnya. Penyerang terbilang, Norshahrul Idlan Talaha tetap menjadi sandaran utama untuk merobek pintu gol pasukan lawan.

Ketika jentera tengah dan benteng pertahanan dilihat cukup ampuh, posisi penjaga gol pula menjelmakan masalah sebenar. Ketiadaan khidmat Khairul Fahmi mungkin tidak mengapa lagi, namun hilang dua khidmat penjaga gol, Mohd Halim Napi dan Norhadi Ubaidillah menerbitkan rasa gundah di kem Kelantan.

Namun Karathu jelas tidak mahu masalah tersebut menjadi penghalang diatas kebangkitan luar biasa pasukan bimbingannya musim ini. Ketepikan masalah tersebut sambil memberi fokus terhadap enam perlawanan diperingkat kumpulan.

Malah aksi cemerlang lima perlawanan persahabatan dengan mengalahkan Kuala Lumpur (5-0), Selangor (1-0), PDRM (1-0), T-Team (3-1) dan menang 1-0 keatas Songkla FC biarpun perlawanan terpaksa dihentikan gara-gara lampu limpah padang membuktikan The Red Warriors kini cukup bersedia mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.


PROFIL PASUKAN
Pasukan : Kelantan
Gelaran : Pahlawan Merah (The Red Warriors)
Ditubuhkan : 1946
Gelanggang : Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu
Kapasiti tempat duduk: 22,000 penonton

PENCAPAIAN MUSIM INI
Liga Super – Juara 
Piala FA – Naib Juara
Piala Sultan Ahmad Shah – Juara
Penjaring Terbanyak – Norshahrul Idlan Talaha

PENCAPAIAN DALAM PIALA MALAYSIA
2000 – Suku Akhir
2001 – Separuh Akhir 
2002 – Peringkat kumpulan
2003 – Peringkat kumpulan
2004 – Tidak Layak
2005 – Tidak Layak
2006 – Tidak Layak
2008 – Peringkat kumpulan
2009 – Naib Juara
2010 – Juara 

Inilah barisan terkuat Kelantan yang menjadi taruhan Karathu dalam usahanya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

SENARAI PEGAWAI PASUKAN
Pengurus Pasukan : Azman Ibrahim
Ketua Jurulatih : Datuk M Karathu
Penolong Jurulatih : Mohd Hashim Mustapha
Penolong Jurulatih : Mohd Sideek Samsudin
Jurulatih Penjaga Gol : Ismail Chawalit Abu Bakar
Jurulatih Kecergasan: Reuben Jude Balraj
Fisioterapi : Syarizan Samsuddin
Kitman : Harun Ismail
Pegawai Keselamatan : Datuk Mohd Farek Abd Ghani 
Pegawai Media : Wan Badri Wan Omar

SENARAI PEMAIN
Penjaga Gol : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shahrizan Ismail, Norhadi Ubaidillah dan Mohd Halim Napi.

Pertahanan : Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Mohammad Ab Aziz Ismail dan Wan Rohaimi Wan Ismail.

Tengah : Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Badhri Mohd Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Muhammad Izuan Salahuddin, Danial Fadzly Abdullah,  Solehin Kanasian Abdullah, Khairan Eroza Razali, Wan Zaman Wan Mustapha dan Khairul Eruan Razali.

Penyerang : Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Nizab Ayub, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Muhammad Khalid Jamlus dan Zul Yusri Che Harun.

PEMAIN PINJAMAN
Azammuddin Mohd Akil dan R Surendran kedua-duanya dari Pahang.

Azammuddin (kiri) menguatkan jentera serangan Kelantan dan bakal bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha.

No comments:

Post a Comment