Sunday, August 14, 2011

TIADA GANJARAN UNTUK PEMAIN

ABDUL FATTAH

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan tidak bercadang memberi sebarang ganjaran kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) diatas kejayaan pemainnya menjulang kejuaraan Piala Liga Super dan Piala Presiden musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tidak mahu mengambil sikap terlalu memanjakan Kafa dan pemainnya biarpun berjaya membawa pulang piala kejuaraan itu ke bumi negeri ini. 

“Namun Kerajaan Negeri bercadang akan memberikan bonus serta ganjaran sekiranya pasukan bola sepak Kelantan berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi buat kali kedua pada tahun ini.

“Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mengadakan satu majlis bagi meraikan kejayaan pasukan Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala Presiden tidak lama lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis penyampaian cek oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada dua bekas pemain Kelantan musim lalu, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad, baru-baru ini. 

Indra Putra dan Mohd Norfarhan masing-masing menerima cek bernilai RM7,000 setiap seorang sementara Azizi Matt Rose menerima RM3,500 diatas kejayaannya membantu The Red Warriors menjulang Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu. 

Sementara itu, Abdul Fattah turut menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak boleh menyediakan peruntukkan khas kepada Kafa untuk membantunya membiayai segala perbelanjaan pengurusan dan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka.

“Kafa bukan terletak dibawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya persatuan dibawah syarikat kerajaan negeri. Kafa merupakan sebuah persatuan yang sejak dulu lagi tidak terletak dibawah bidang kuasa kerajaan negeri. 

“Berbeza dengan negeri lain yang mana persatuan bola sepak mereka terletak dibawah bidang kuasa dan kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan geran dan peruntukkan untuk persatuan tersebut. 

Kerajaan Negeri pernah memberikan ganjaran berupa pakej mengerjakan umrah kepada pemain dan pegawai pasukan Kelantan diatas kejayaan muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun 2009. Sementara pada tahun lalu, Kerajaan Negeri memberikan ganjaran RM200,000 kepada pemain dan pegawai pasukan Kelantan diatas kejayaan muncul juara buat pertama kali sejak 89 tahun lalu. 

Mampukah The Red Warriors mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi mereka sekali lagi pada musim ini.

1 comment: