Sunday, August 14, 2011

KARATHU PUJI KOMITMEN PEMAIN

Karathu (tiga, kanan) menyatakan sesuatu kepada para pemainnya sejurus mengendalikan sesi latihan skuad Kelantan, malam semalam.

KOTA BHARU – Kepenatan menjalani ibadah di bulan ramadan bukan menjadi penghalang bagi skuad Kelantan untuk menjalani latihan insentif bagi mempertahankan kejuaraan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Biarpun tanpa lima pemain yang kini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, pemain Kelantan tetap gigih menjalani latihan seperti biasa selepas solat terawih setiap malam kecuali malam Jumaat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para pemainnya dalam sesi latihan selama dua jam setiap malam sepanjang bulan puasa ini.

“Saya mahu para pemain mengekalkan prestasi terbaik sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia nanti. Permulaan latihan, kita memberi tumpuan kepada peningkatan tahap kecergasan dan saya gembira dengan kerja keras semua pemain dalam latihan ini,” katanya ketika ditemui Sinari Harian, semalam.

“Kita akan meneruskan sesi latihan ini untuk beberapa hari lagi. Saya berharap semua pemain gembira dengan latihan ini sebelum kita bertolak ke ibu negara bagi menghadapi tiga siri perlawanan persahabatan disana.

“Tiga perlawanan persahabatan ini memberi peluang kepada saya untuk menguji semua keupayaan pemain. Saya perlu bersikap adil dan semua pemain akan diberi peluang beraksi dalam tiga perlawanan tersebut,” katanya.

Mengakui kempen Piala Malaysia merupakan satu pertandingan yang cukup berbeza berbanding saingan Liga Super, Karathu turut memberi amaran awal hanya pemain yang benar-benar menunjukkan prestasi terbaik sahaja bakal terpilih berada dalam kesebelasan utama pasukan.

“Kita akan mengharungi lima perlawanan sepanjang bulan puasa ini. Empat perlawanan di luar (bertemu Kuala Lumpur, Selangor, PDRM dan Songkla FC) dan satu di Kota Bharu (bertemu T-Team) akan memberi ilham kepada saya untuk mencari bayangan pemain yang akan dipilih ke dalam kesebelasan utama pasukan.

“Kita mahu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia. Dan sebagai juara bertahan, Kelantan harus memiliki prestasi terbaik. Walaupun tanpa beberapa pemain dalam sesi latihan ketika ini namun itu bukan alasan. Sekarang saya harus bekerja dengan pemain yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dua pemain pinjaman dari Pahang, Azamuddin Mohd Akil dan R Surendran yang menyertai The Red Warriors, Karathu turut menjelaskan kedua-dua pemain tersebut harus bersaing dengan penyerang tempatan lain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Tidak semestinya mereka terpilih dalam kesebelasan pemain. Mereka kena buktikan terlebih dahulu. Saya tahu mereka mempunyai kualiti sebagai pemain dan saya berharap mereka berada dalam perancangan saya. Tetapi kita tengoklah macam mana nanti,” katanya. 

No comments:

Post a Comment