Monday, August 15, 2011

SURENDRAN SEDIA BERSAING

Surendran (kiri) bersaing hebat dengan Khairan Eruan Razali ketika pertama kali menyertai sesi latihan bersama skuad Kelantan, malam semalam.

KOTA BHARU – Penyerang berstatus ‘pinjaman’ dari Pahang, R Surendran bersedia membuktikan sentuhannya masih berbisa seterusnya merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Bekas penyerang Selangor musim 2008 hingga 2010 itu berkata, beliau cukup teruja apabila diberi peluang beraksi dengan Kelantan dan berharap dapat membantu The Red Warriors mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

“Saya tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri kerana saya mengenali ramai pemain dalam pasukan Kelantan. Jadi saya fikir tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat dan saya sudah bersedia untuk bersaing dengan pemain-pemain tempatan yang lain. Saya tahu ianya bukan satu perkara yang mudah namun saya berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan sumbangan saya tidak sia-sia untuk pasukan ini.

“Dari segi keserasian ianya mungkin akan datang selepas ini namun itu bukan masalah besar bagi saya. Malah corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih, Datuk M Karathu juga tidak menyukarkan saya untuk menyesuaikan diri pasukan ini,” katanya yang turut berlepas ke ibu negara pagi semalam bersama skuad Kelantan bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan di sana.

Menurut penyerang berusia 29 tahun itu, sekalipun terpaksa berehat lama gara-gara masalah kecederaan sepanjang pusingan kedua saingan liga baru-baru ini, namun beliau memberi jaminan itu bukan persoalan utama yang harus dipertikaikan oleh penyokong setia Kelantan mengenai keupayaan beliau ketika ini.

“Kecederaan ‘hamstring’ yang saya alami sudah pulih hampir 100 peratus sekarang. Tinggal lagi saya perlu mendapatkan semula tahap kecergasan yang dahulu dan saya sedang berusaha ke atas tersebut. Saya harap akan cergas sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

“Saya bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik bukan sahaja ketika menjalani latihan malah sekiranya diberi peluang oleh jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.

Musim ini, Surendran diberi kepercayaan oleh Dollah Salleh bergandingan bersama Mohd Alafi Mahmud dibahagian serangan pasukan Pahang. Aksi terakhir beliau bersama skuad Tok Gajah ialah ketika perlawanan play-off Piala Malaysia baru-baru ini dimana pasukannya tewas menerusi agregat 6-0 kepada Sime Darby FC. 

No comments:

Post a Comment