Thursday, August 11, 2011

SURENDRAN PERKUAT KIJANG

Surendran (berjersi kuning, depan) bakal menguatkan jentera serangan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia bulan depan. 

KOTA BHARU –Penyerang Pahang, R Surendran menjadi pemain terakhir yang dipinjam oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) apabila pemain tersebut bersetuju untuk menyarung jersi Kelantan bagi mempertahankan kejuaraan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengesahkan khidmat bekas pemain yang berasal dari Perak dan pernah beraksi dengan pasukan Selangor musim lalu ditagih bagi memperkuatkan jentera serangan The Red Warriors dalam kempen Piala Malaysia edisi kali ini.

“Dia akan melaporkan diri dengan kita bermula esok (hari ini) dan akan terus menyertai sesi latihan dibawah kendalian jurulatih, Datuk M Karathu pada sebelah malam di stadium,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Segala urusan dokumentasi pendaftaran pemain ini akan dilakukan oleh pihak Kafa hari ini (semalam) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Insya Allah kita berharap semuanya berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah untuk mendaftarkan pemain itu.

“Kehadiran pemain ini memberikan banyak pilihan kepada jurulatih untuk membentuk kombinasi terbaik dibahagian serangan. Kehadiran Surendran dan Azammuddin (Mohd Akil)  dianggap memadai bagi kita dalam memperkuatkan jentera serangan,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Azman turut menjelaskan, skuad The Red Warriors yang dalam persiapan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu akan menjalani latihan di ibu negara selama seminggu bermula Ahad ini.

“Kita mengaturkan tiga siri perlawanan persahabatan semasa menjalani latihan di sana. Perlawanan menentang Kuala Lumpur akan berlangsung pada 14 Ogos di Stadium Selayang sementara bertemu Selangor pada 17 Ogos di Stadium Shah Alam.

“Keesokkan harinya kita akan bertemu PDRM di Stadium Selayang. Kita dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang T-Team di Kota Bharu pada 24 Ogos sebelum ke Songkla, Thailand  pada 26 Ogos untuk menentang kelab tersebut di sana,” katanya.

No comments:

Post a Comment