Thursday, August 11, 2011

JANJI ALEX BANTU KELANTAN

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim (kanan) menaymbut kehadiran Azammuddin yang menyertai sesi latihan skuad Kelantan di Kota Bharu, malam semalam.

KOTA BHARU – Penyerang pinjaman baru Kelantan, Azammuddin Mohd Akil berjanji akan menampilkan aksi terbaiknya bagi membantu The Red Warriors mempertahankan kejuaraan dalam kempen Piala Malaysia musim ini. 

Tidak sampai lapan jam sejurus tiba di Kota Bharu, Azammuddin tidak membuang masa sebaliknya terus menyertai sesi latihan pada sebelah malam dibawah kendalian jurulatih, Datuk M Karathu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Biarpun sedikit kepenatan, namun Azammuddin atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Alex’ dilihat mudah menyesuaikan dirinya dalam sesi latihan tersebut.

“Kedatangan saya ke sini bukan sekadar untuk menjadi penumpang dalam pasukan ini. Malah saya berazam untuk membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

“Selain itu ianya menjadi misi peribadi buat saya untuk merangkul pingat kejuaraan itu bagi diri saya sendiri. Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang sudi menggunakan khidmat saya untuk beraksi dengan pasukan ini.

“Walaupun baru pertama kali menyertai sesi latihan ini namun saya tidak menghadapi masalah. Semua pemain memberikan sokongan dan kerjasama yang baik kepada saya. Malah saya juga tidak berdepan masalah mengikut tunjuk ajar jurulatih,” katanya.

Ditanya mengenai harapan yang tinggi diletakkan oleh penyokong setia Kelantan yang melihat potensi beliau untuk digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha dibahagian serangan, Azammuddin mengakui itu merupakan satu cabaran yang perlu disahut oleh beliau.

“Sebagai pemain bola sepak, tekanan tetap dirasa apabila bermain dengan mana-mana pasukan. Dari segi mental, saya sudah bersedia menghadapi tekanan tersebut malah ini merupakan satu cabaran baru bagi saya apabila beraksi dengan pasukan seperti Kelantan.

“Saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan. Tidak ada ruang yang mudah bagi saya kerana rakan sepasukan, R Surendran juga akan datang ke sini selain saya juga perlu bersaing dengan penyerang tempatan yang lain,” katanya.

Musim ini, Azammuddin anak kelahiran Kampung Relong, Kuala Lipis meledakkan tiga gol untuk pasukannya. Karier Azammuddin bermula dengan mewakili kelab Shahzan Muda (Pahang) pada tahun 2005 hingga 2006.

Setahun kemudian, beliau berhijrah mewakili kelab UPB Perak- MyTeam selama dua musim sebelum kembali menabur bakti bersama negeri kelahirannya bermula tahun 2009 hingga sekarang.

No comments:

Post a Comment