AMRAN HAMID
KOTA BHARU – Seramai 13 pengadil bola sepak negeri Perlis mengadakan lawatan sambil belajar ke Wisma Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Kampung Chica, dekat sini baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi, Persatuan Pengadil Bola Sepak Perlis (PPBSP), Amran Hamid berkata, kunjungan muhibbah tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan yang dilakukan oleh pihaknya bertujuan untuk menjalin kerjasama dengan pengadil negeri Kelantan.
“Kami sentiasa menjelajah ke negeri-negeri dimana sebelum ini kami pernah ke mengadakan lawatan ke Perak dan Selangor. Kali ini kita memilih Kelantan sebagai destinasi lawatan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim diantara pengadil kedua-dua negeri ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
“Di Perlis, kami merupakan satu badan NGO yang bergerak cukup aktif. Malah dibawah persatuan ini, kami mewujudkan beberapa biro seperti Biro Kemasyarakatan, Sukan dan Khairat Kematian yang bertujuan untuk melicinkan fungsi persatuan kami.
“Jadi kedatangan kami ke sini saya fikir banyak memberi manfaat berguna kepada ahli-ahli kami. Selain bertukar-tukar pandangan, kami juga dapat berbincang dengan pengadil disini mengenai peraturan terbaru dalam dunia pengadilan. Kita juga turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan pengadil negeri ini,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini persatuannya mempunyai seramai 65 ahli berdaftar diseluruh negeri Perlis dan beliau berharap lebih ramai golongan muda berkecimpung dalam dunia kepengadilan pada masa akan datang.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Pengadil Kafa, Yamin Yaakob berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengadil-pengadil luar ke negeri ini sebagai memperkukuhkan hubungan silaturrahim sesama sendiri.
“Ini merupakan pertama kali kami menerima kunjungan pengadil dari luar Kelantan dan saya berharap lebih ramai lagi pengadil luar dapat datang ke sini. Saya rasa sumbangan pengadil dalam pembangunan bola sepak juga tidak harus dipinggirkan begitu sahaja.
“Insya Allah, kita bersedia mengadakan kunjungan balas ke Perlis pada masa akan datang. Malah lawatan seperti ini juga menjadi platform kepada kita untuk bertukar-tukar pendapat dan mengukuhkan hubungan dua hala diantara setiap persatuan pengadil negeri masing-masing.
Pengadil Perlis (berjersi biru) bergambar bersama dengan pengadil Kelantan ketika mengunjungi Wisma Kafa, baru-baru ini.
“Kita mahu menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi bidang kepengadilan ini. Kebiasaannya, apabila kita sebut pengadil, ramai yang beranggapan pengadil hanya diwakili golongan yang berumur 30 tahun ke atas namun kita mahu mengubah persepsi tersebut dengan golongan 20 tahun ke atas juga berpeluang cerah menceburi bidang ini,” katanya.
Sementara itu, bagi mengakhiri siri lawatan tersebut, kedua-dua pasukan pengadil mengadakan satu perlawanan persahabatan di Padang Mardi, Pasir Tumbuh yang menyaksikan keputusan terikat seri 3-3.
No comments:
Post a Comment