Sunday, July 17, 2011

KOLEKSI KEJUARAAN BAKAL DIPAMERKAN

Piala Malaysia, Piala Belia, Piala Liga Super, Piala Emas Raja-Raja dan Piala Sultan Ahmad Shah akan dipamerkan kepada umum di Muzium Negeri, bermula minggu depan 

KOTA BHARU – Orang ramai berpeluang untuk melihat lebih dekat piala-piala yang dimenangi oleh pasukan bola sepak Kelantan apabila buat pertama kalinya ianya akan dipamerkan kepada umum di Muzium Negeri Kelantan tidak lama lagi.

Pameran yang akan berlangsung selama sebulan dan bermula minggu ketiga bulan Ramadan nanti bakal menyaksikan Piala Liga Super yang baru dimenangi selain Piala Malaysia, Piala Belia, Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala Emas Raja-Raja akan dipamerkan kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyudin Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membolehkan kesemua piala yang dimenangi itu dipamerkan kepada rakyat Kelantan pada bulan depan.

Datuk Takiyudin Hassan

“Memandangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini pasukan Kelantan sudah menunjukkan kebangkitan luar biasa dengan memenangi beberapa piala kejuaraan, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kita mempamerkan kesemua piala tersebut,” katanya kepada media pada majlis perjumpaan dengan bekas-bekas pemain negeri era tahun 60 hingga 70’an, semalam.

“Sehubungan dengan itu, pihak Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama dan sokongan untuk menjayakan pameran tersebut. Malah, rakyat Kelantan yang berada diperantauan apabila pulang ke kampung pada cuti perayaan nanti berpeluang untuk melihat lebih dekat koleksi piala tersebut.

“Kejayaan memenangi beberapa piala ini merupakan satu revolusi baru dalam sukan bola sepak negeri ini. Kita mahu mempamerkan detik kecemerlangan, suka duka bola sepak Kelantan bermula dari zaman dulu sehingga sekarang,” katanya.

Takiyudin yang juga Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan berkata, selain pameran piala tersebut, para pengunjung juga berpeluang untuk mengenali lebih dekat bekas-bekas pemain yang pernah berbakti kepada negeri ini.

“Mungkin generasi sekarang tidak mengenali siapa Wan Zawawi Wan Yusoff, Salleh Ibrahim dan Hamzah Hussin. Mereka semua merupakan pemain yang berasal dari negeri ini dan mewakili skuad negara ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

“Kita akan mempamerkan biodata serta penglibatan semua pemain bermula era tahun 60 sehingga 90’an. Misalnya, Dali Omar, dia mempunyai sejarah yang cukup unik dan menjadi pemain bola sepak yang pertama beraksi di luar negara. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita memperingati lagenda-lagenda bola sepak yang pernah mengharumkan negeri ini suatu ketika dahulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment