Sunday, July 17, 2011

ROYPY CEBURI BIDANG PERNIAGAAN

Annuar (empat,kiri) merasmikan pembukaan FZ Jati Corner di Kota Bharu. Turut kelihatan, Zairul Fitree (kanan,sekali)

KOTA BHARU – Minat yang mendalam untuk menceburi bidang perniagaan sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan bagi pemain bola sepak Liga Super Kelantan, Zairul Fitree Ishak apabila berjaya membuka perniagaan berasaskan makanan, baru-baru ini.

Majlis perasmian medan selera yang diberi nama FZ Jati Corner itu disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Merchandise, Outlet dan Event, Azlan Mohd Yusoff, Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim serta pemain-pemain bola sepak Kelantan.

Zairul Fitree, 26 tahun atau lebih dikenali dengan panggilan Roypy berkata, idea untuk membuka medan selera itu dicetuskan oleh rakan kongsinya Mohamad Fikri Mohd Azaman serta abangnya, Zailani Hanizan Ishak dan mereka bertiga sepakat mengeluarkan modal hampir RM80,000 bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Bukan kata karier sebagai pemain bola sepak tidak menjamin masa depan tapi saya rasa ini merupakan sebahagian daripada perancangan untuk masa depan saya sendiri. Tidak selamanya saya akan bermain bola sepak dan akan tiba hari persaraan saya nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

“Jadi langkah menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan ini merupakan satu tindakan yang saya rasa cukup tepat. Malah saya turut mendapat galakkan daripada keluarga dan rakan-rakan apabila menyatakan hasrat untuk membuka medan selera ini.

“Di FZ Jati Corner ini, kita mengetengahkan konsep menikmati makanan secara santai dan terbuka. Para pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan tempatan dan barat termasuk satay daripada 10 gerai yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, bagi rakan kongsinya, Mohd Fikri berkata, sambutan yang diterima daripada orang ramai cukup menggalakkan sejak dibuka medan selera tersebut dibuka baru-baru ini.

 “Sebagai tarikan, kita turut menjual nasi ulam salah satu makanan popular masyarakat di negeri ini disini. Malah bermula minggu depan, waktu operasi kami akan bermula seawall jam tujuh pagi sehingga dua pagi setiap hari dan dibuka tujuh hari seminggu.

“Dengan kemudahan tempat letak kenderaan yang luas ditambah dengan keupayaan medan selera ini dapat menampung hampir 150 orang pengunjung pada satu-satu masa, saya rasa inilah tempat yang sesuai untuk menikmati makanan tempatan secara santai,” katanya.

Orang ramai boleh mengunjungi FZ Jati Corner yang terletak berhadapan dengan Maybank cawangan Wakaf Siku di Jalan Sultan Yahya Petra, dekat sini.

1 comment:

  1. Pak Man doakan Roypy berjaya dalam kedua-dua lapangan tersebut.

    ReplyDelete