Thursday, July 14, 2011

PELUANG TIMBA PENGALAMAN - SATHIA

SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Seramai 305 pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (AMRY) bakal didedahkan dengan teknik bola sepak moden apabila menyertai Klinik Bola Sepak bersama jurulatih Akademi Bola Sepak Cardiff City di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang esok.

Tujuh jurulatih daripada kelab yang berpengkalan di United Kingdom itu didatangkan khas oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan teknik bola sepak terkini kepada jurulatih tempatan dan juga pelatih ARMY.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, B Sathianathan berkata, inilah peluang terbaik bagi jurulatih tempatan dan juga para pelatih AMRY untuk mempelajari sesuatu yang baru berkaitan teknik bola sepak di negara Eropah.

“Ini merupakan satu sejarah baru bagi bola sepak Kelantan apabila jurulatih akademi dari kelab yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu England hadir ke sini untuk mengendalikan klinik bola sepak ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Saya mahu jurulatih dan pelatih ARMY memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dengan menimba pengetahuan walaupun klinik bola sepak ini hanya dijalankan dalam tempoh sehari sahaja. Kita harus berasa bertuah kerana jarang mana-mana jurulatih tempatan di negeri lain mempunyai peluang seperti ini.

“Kita juga membuka peluang kepada mana-mana jurulatih tempatan yang lain untuk menyertai klinik ini dengan syarat mereka sekurang-kurangnya perlu mempunyai Lesen Kejurulatihan C. Mereka boleh menghubungi pihak Kafa dengan seberapa segera. Malah saya juga menjemput jurulatih Piala Presiden dan Akademi Bola Sepak Darul Naim untuk turun serta,” katanya.

Menurutnya, sesi klinik bola sepak selama sehari itu bermula pada sebelah bagi dimana seramai 21 jurulatih ARMY akan terlibat dalam sesi praktikal selama dua jam dan dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih Akademi Cardiff City itu.

“Kemudian mereka akan mengikuti sesi teori selama satu jam yang akan berlangsung di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC). Mereka akan didedahkan secara khusus mengenai pembangunan bola sepak remaja terutamanya di negara England.

“Sementara pada sebelah petang pula, seramai 305 peserta akan turun padang bagi menjalani sesi tunjuk ajar dibawah jurulatih Akademi Cardiff City. Kita akan bahagi-bahagikan mereka kepada beberapa kumpulan bagi membolehkan mereka menimba pengetahuan dengan sebaik mungkin walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment