Zahasmi (kiri) dan penolongnya, Mohd Nafuzi serius berbincang sesuatu bagi merangka strategi untuk bertemu PKNS Selangor dalam separuh akhir kedua di Kelana Jaya, petang ini
KOTA BHARU – Sekalipun turun tanpa dua tonggak utama, skuad Piala Presiden Kelantan tetap menjanjikan aksi terbaik apabila bertemu PKNS Selangor dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Presiden di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang ini.
Jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, beliau percaya pasukan kendaliannya tidak tertekan apabila berhadapan kebangkitan pasukan berstatus kelab negeri Selangor itu.
“Penggembur berbisa, Mohamad Aris (Zaidi) Kelantan terpaksa disisihkan kerana menjalani hukuman penggantungan perlawanan sementara Nicholas Chan (Meng-Jin) mengalami kecederaan yang serius dalam perlawanan separuh akhir pertama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Kita sudah biasa kehilangan khidmat dua pemain itu dan saya percaya ketiadaan mereka tidak dirasakan. Malah saya yakin pemain lain yang akan mengisi kekosongan mereka mampu beraksi dengan baik. Saya ada ramai pemain seperti Mohd Shahiran (Mohd Zin) Muhammad Akid (Ramli) yang boleh diharapkan.
“Kita turun dengan misi penting untuk mencipta kemenangan. Satu perkara yang saya cukup benci ialah keputusan seri atau pun kalah apabila berada dalam saingan seperti ini. Jadi para pemain memahami kehendak saya yang mahukan kemenangan dalam perlawanan kedua ini,” katanya.
Ditanya mengenai percaturan khas yang dilakukannya bagi menghadapi perlawanan ini, Zahasmi tampak lebih gemar berahsia sambil mengambil pendekatan berwaspada dengan kebangkitan yang mungkin dicetuskan oleh anak buah Rusdi Suparman itu.
“Mereka sebuah pasukan yang menunjukkan taktikal cukup bagus dan mempunyai ramai pemain yang berkualiti. Ini dibuktikan dalam pertemuan pertama lalu. Saya tidak memandang mudah pertemuan kali ini.
“Saya akan fikir percaturan taktikal yang sesuai untuk kita gunakan esok (hari ini). Soal formasi pasukan itu masih lagi tanda tanya. Cuma kita akan gunakan peluang melalui serangan balas untuk menjaringkan gol sebagai salah satu strategi utama kita dalam perlawanan ini.
“Saya mahu pemain turun dengan motivasi tinggi untuk menang. Mereka harus menganggap perlawanan sebelum ini seperti terikat tanpa jaringan. Apa yang penting jangan melakukan kesilapan dan memberikan penuh seratus peratus komitmen dalam perlawanan ini,” katanya.
Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu, The President Warriors menang 2-0 menerusi jaringan kedua-dua gol oleh bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan Rosli.
No comments:
Post a Comment