Thursday, July 14, 2011

ABDN TERUS MENGORAK LANGKAH

Hussain (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Azman sambil disaksikan Md Sulji (tengah) dan Mohd Amiruddin pada majlis menandatangani MoU penajaan antara Kumpulan Amir-Husin dengan ABDN di Kota Bharu, semalam. 

KOTA BHARU – Akademi Bola Sepak Darul Naim (ABDN) terus mengorak langkah dalam merintis program pencungkilan bakat-bakat muda di negeri ini apabila menerima tajaan sejumlah RM50,000 daripada Kumpulan Amir-Husin (AHGC) bagi tujuan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amir-Husin, Mohd Amiruddin Omar berkata, pihaknya menganggap usaha penajaan yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada perkongsian sumber rezeki dimana syarikatnya turut membuat pelaburan dalam pelbagai sektor perniagaan di negeri ini.  

“Kita tertarik dengan konsep yang dilakukan oleh akademi ini yang mana turut menekankan asas-asas fardhu ain kepada peserta mereka. Mereka bukan setakat hendak mengembangkan sukan bola sepak tetapi juga menitikberatkan pembangunan kerohanian.

“Ini merupakan pertama kali kami menaja aktiviti sukan menerusi akademi bola sepak. Sebelum ini, kami pernah membuat tajaan di negeri ini dalam bentuk pertandingan futsal, badminton dan bola keranjang.

“Kita berharap dapat membantu akademi ini untuk menganjurkan pelbagai program melibatkan pelatih-pelatih mereka. Sumbangan ini sebenarnya datang daripada semua kakitangan kami. Mereka bekerja kuat untuk syarikat dan inilah sumbangan bakti mereka kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penajaan antara Kumpulan Amir-Husin dengan ABDN di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, Md Sulji Zakaria, Pengerusi Kumpulan Amir-Husin, Hussain Omar, Presiden ABDN Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Al-Hambra The Red Warriors (ARMY) B Sathianathan.

Sementara itu, Presiden ABDN, Azman Ismail berkata, beliau menyambut baik tajaan yang diberikan oleh Kumpulan Amir-Husin dalam  pembangunan akar umbi sukan bola sepak di negeri ini.

“Saya yakin usaha yang dilakukan oleh rakan-rakan bekas pemain negeri tidak sia-sia dalam menjadikan negeri ini sebagai sebuah kilang dalam melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.

“Bermula dengan lapan pusat latihan disertai 200 pelatih dan 12 jurulatih, hari ini kami mampu berbangga kerana mempunyai 15 pusat latihan dan hampir 1,200 peserta menjadi pelatih akademi kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment