AZMAN IBRAHIM
KOTA BHARU – Ketika Terengganu dan Selangor melaungkan betapa peluang bagi mereka masih terbuka untuk mendakap kejuaraan liga, pendahulu liga Kelantan pula jelas tidak mahu sewenang-wenangnya melepaskan dengan mudah trofi kejuaraan paling berpestij itu biarpun penentuan pasukan bergelar juara terpaksa ditentukan menerusi perlawanan terakhir liga.
Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, biarpun pasukannya hanya sekadar memerlukan satu mata untuk mengesahkan status selaku juara baru Liga Super musim ini, namun beliau tidak mahu melakukan perjudian sebaliknya tetap mengharapkan kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Sabah nanti
“Walaupun keputusan seri sudah memadai bagi kita, namun matlamat sebenar Kelantan bertandang ke Kota Kinabalu ialah untuk mencatatkan kemenangan. Saya yakin kita mampu menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu untuk bergelar juara kali ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Saya percaya ini merupakan peluang terbaik bagi kita untuk menjulang kejuaraan dan para pemain juga menyedari kita sudah terlalu hampir untuk mencapai impian tersebut. Saya tidak mahu bergantung kepada keputusan lain kerana apa yang kita kecapi hari ini (menduduki tangga teratas liga) adalah hasil usaha gigih kita semata-mata.
“Kegagalan dalam perlawanan akhir Piala FA lalu menjadi pengajaran dan ianya menjadi suntikan semangat kepada pemain dan kita tidak mahu kecewa lagi. Begitupun saya tetap tidak memandang mudah pertemuan dengan Sabah ini,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak mahu mendabik dada sebaliknya melihat semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh anak buahnya sejak menyambung latihan kira-kira dua minggu lalu membuktikan betapa misi untuk membawa pulang piala itu ke negeri ini buat pertama kali ternyata tidak mustahil.
Karathu (tiga, kanan) memberikan arahan kepada pemainnya dalam sesi latihan skuad Kelantan di Stadium SUltanMuhammad IV, Kota Bharu, semalam
“Siapa kata kita tidak boleh mengalahkan Sabah di Kota Kinabalu. Kalau Selangor, Terengganu, Johor FC, Harimau Muda dan T-Team mampu berbuat demikian, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama.
“Malah dua pencabar terdekat kita iaitu Terengganu dan Selangor juga sudah pasti berhadapan tugas sukar kerana bermain ditempat lawan. Tidak mudah bagi Terengganu untuk berhadapan dengan KL Felda United FC kerana hanya Kelantan, Selangor, Kedah dan Perak yang pernah menewaskan pasukan itu ditempat mereka,” katanya.
Sementara itu, Azman turut mengesahkan kesemua lima pemain Kelantan yang bersama skuad kebangsaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Taiwan akan kembali menyertai pasukan pada hari esok.
No comments:
Post a Comment