Monday, July 4, 2011

PEMAIN BOLA JADI SUKARELAWAN

ANNUAR MUSA

KOTA BHARU – Kesemua pemain bola sepak Kelantan bakal mempunyai ‘tanggungjawab baru’ apabila didaftarkan sebagai sukarelawanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan tidak lama lagi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua pemain itu akan didaftarkan sebagai sukarelawan sempena Karnival Nada Nadi Komuniti JKM bersama The Red Warriors bertempat di dataran Warisan Kok Lanas, dekat sini Sabtu ini.

“Usaha murni ini dilakukan bertujuan untuk memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan para pemain TRW untuk mereka sama-sama berganding bahu membantu golongan yang memerlukan pertolongan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Karnival Nada Nadi Komuniti JKM bersama TRW, semalam. 

“Pada masa yang sama, Kafa melihat usaha ini juga mampu menjadi satu contoh kepada masyarakat di luar sana untuk sama-sama melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawanan ini. Kesemua pemain akan menerima kad perakuan sebagai ahli sukarelawan daripada pihak JKM nanti. 

“Barisan pemain bola sepak Kelantan bukan sahaja berjuang didalam padang untuk mengejar kejuaraan dalam saingan bola sepak tetapi dalam masa turut mempunyai peranan tersendiri diluar padang dengan memberikan pertolongan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Kita mahu TRW menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dalam perkara ini,” katanya. 

Menurutnya, walaupun pasukan TRW mempunyai kekangan masa daripada segi komitmen mereka terhadap kerja-kerja luar namun beliau berharap para pemainnya tetap dapat mengambil bahagian dalam program kemasyarakatan dari semasa ke semasa mengikut waktu terluang. 

“Dalam karnival ini nanti, para pemain TRW akan turun padang untuk mengagihkan 1,000 kampit beras dan beberapa bantuan lain seperti kerusi roda, basikal dan sebagainya kepada golongan yang tidak bernasib baik.

“Selain itu, sekiranya pasukan kita muncul juara Liga Super musim ini, kita bercadang membawa piala tersebut selain Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih yang dimenangi sebelum ini untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar berkata, pihak Kafa akan bekerjasama dengan kelab bola sepak Indonesia, iaitu Pelita Jaya untuk mengadakan program yang sama di negara tersebut. 

“Insya Allah, pada bulan November ini kita bercadang mengadakan program seperti ini disana (Indonesia) bersama kelab tersebut bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan. Selaku pemegang kad keahlian sukarelawan yang kita miliki itu, kita mahu TRW menjadi satu pasukan yang prihatin kepada masyarakat,” katanya.

1 comment:

  1. selagi bebas politik kepartian, memang elok untuk trw

    ReplyDelete