Thursday, July 21, 2011

IZUAN, SUBRA TIDAK SABAR TEMU CHELSEA

MOHD IZUAN SALAHUDDIN 

S SUBRAMANIAM

KOTA BHARU – Pelatih skuad Olimpik kebangsaan, Mohd Izuan Salahuddin bersedia menggalas tugas sekiranya diberi kepercayaan beraksi untuk pasukan Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis ini.

Mohd Izuan, 20 tahun yang baru dipanggil oleh jurulatih Ong Kim Swee bagi menjalani latihan di Slovakia bermula Sabtu ini menjelaskan, impian beraksi menentang pasukan kelab yang dibarisi pemain bertaraf dunia itu merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan.  

“Siapa yang tidak mahu bermain apabila menentang sebuah kelab yang dibarisi pemain-pemain terkenal dunia. Peluang ini mungkin sekali seumur hidup dan saya tidak mahu melepaskan peluang terbaik ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Walaupun terpaksa bersaing hebat dengan pemain-pemain lain namun saya percaya itu merupakan satu persaingan yang sihat. Malah sembilan pemain senior didalam pasukan ini juga tidak segan untuk berkongsi ilmu dengan pemain muda seperti saya.

Subramaniam (kanan) dan Mohd Amri Yahyah bakal perkuatkan pasukan Pilihan Malaysia apabila menentang Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Soal sama ada dipilih atau tidak itu bergantung kepada penilaian jurulatih. Apa yang penting saya sendiri perlu menunjukkan prestasi yang baik semasa latihan. Saya sememangnya bersedia diturunkan sekalipun sebagai pemain gantian,” katanya.

Menurutnya, walaupun baru seminggu menjalani latihan bersama namun beliau tidak menghadapi sebarang masalah malah dapat menerima tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatih, Ong Kim Swee dengan baik.

“Peluang menimba ilmu di Slovakia selama lebih sebulan nanti akan saya manfaatkan sepenuhnya. Malah saya cukup berbangga apabila dipanggil menjalani latihan bersama skuad Olimpik ini. Ianya menjadi cita-cita bagi setiap pemain untuk beraksi mewakili negara,” katanya.

Sementara itu, bagi pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam yang kali terakhir penampilannya bersama skuad kebangsaan ialah dalam pusingan Kelayakan Piala Asia tiga tahun lalu turut berazam menampilkan persembahan terbaik sekiranya diturunkan bertemu Chelsea nanti.

“Bertemu Chelsea ibarat satu ujian yang getir menanti skuad kebangsaan kita namun saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal mengekang aksi pemain bertaraf dunia nanti. Janji saya ialah akan memberikan persembahan terbaik.

1 comment: