Monday, July 11, 2011

AKSI MANTAP PEMAIN SIMPANAN - KARATHU

Penyerang Kelantan, Mohd Nizab Ayub mempamerkan prestasi mengecewakan ketika bertemu Pelita Jaya, malam semalam.

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya sekali pun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan kelab Pelita Jaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.

Sambil memuji persembahan beberapa pemain mudanya dalam perlawanan tersebut, Karathu mengakui anak didiknya berpeluang melangkah lebih jauh sekiranya diberi pendedahan berterusan dalam beberapa siri perlawanan pada masa akan datang.

“Dalam perlawanan ini, saya berpeluang menguji hampir kesemua pemain simpanan dan mereka menunjukkan persembahan yang baik sekali pun kita mengalami kepenatan selepas bergelar juara liga yang baru,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Kita sebenarnya beraksi menentang pasukan yang kuat dan dalam perlawanan ini saya berpeluang menilai sejauh mana keupayaan pemain simpanan sekiranya apa-apa situasi buruk berlaku terhadap pasukan ini dalam saingan Piala Malaysia nanti.

“Memang kita mempunyai masalah diposisi jentera serangan dan saya sedang mengintai satu atau dua pemain daripada pasukan lain untuk dipinjamkan beraksi dengan Kelantan dalam kempen Piala Malaysia nanti. Kita perlu segera mengatasi masalah ini dan saya berharap pemain yang saya mahukan itu dapat memenuhi kehendak pasukan,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan 10 pemain yang menyertai latihan bersama skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini sememangnya dirasakan namun beliau berharap perkara tersebut tidak menjejaskan persiapan pasukannya bagi memulakan latihan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia selepas ini.

“Saya harap pemain yang menyertai skuad kebangsaan dapat menempatkan diri mereka didalam kesebelasan utama pemain. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

“Ianya memberi kesan kepada kombinasi pasukan apabila mereka lebih banyak berada dibangku simpanan. Ini yang saya lihat setelah mereka kembali ke pasukan dan kita mengalami masalah kombinasi ini apabila mereka tidak sempat menjalani latihan bersama dengan kita,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai persembahan pemain jemputan, Jocip Bonacin dalam perlawanan itu, beliau berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan pemain yang berasal dari Croatia itu.

“Dia bermain dengan bagus, saiz fizikal yang sesuai selain mempunyai kelebihan kaki kiri. Saya tidak boleh menilai persembahan dia dalam satu perlawanan sahaja. Dia ada kualiti tetapi saya mahu lebih daripada itu,” katanya. 

M KARATHU

1 comment: