Sunday, June 5, 2011

KAFA ANJUR BENGKEL KELAB PENYOKONG

KOTA BHARU –Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan kerjasama Malaysian Super League (MSL) akan menganjurkan satu mini konvensyen bertempat di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam pada 10 Jun ini.

MSL merupakan satu entiti dibawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diwujudkan bagi mengurustadbir perjalanan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang tahun.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mengambil inisiatif dengan menghimpunkan kelab-kelab penyokong di negeri ini yang dianggarkan sekitar 30 buah kesemuanya pada konvensyen yang akan berlangsung selama sehari itu.

 “Kita mempunyai lebih 30 kelab penyokong besar dan kecil dan di Kelantan sahaja terdapat kira 20 kelab penyokong dan selebihnya dinegeri-negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar sejurus mengadakan pertemuan dengan wakil kelab penyokong, Ultras Kelantan dan bloggers sukan di Kota Bharu, petang semalam.

“Dianggarkan seramai 200 peserta daripada kesemua wakil kelab penyokong itu dijangka menyertai bengkel tersebut. Untuk itu, kita bekerjasama dengan pihak MSL bagi mengadakan bengkel ini bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai peranan kelab masing-masing.

“Kita akan membincangkan beberapa tajuk bagi membolehkan pihak pengurusan kelab penyokong menyelaraskan aktiviti mereka bagi memastikan ianya dilakukan secara tersusun dan sempurna,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan bengkel ini berjalan lancar beliau berharap semua kelab-kelab penyokong dapat menghubungi pihak Kafa seberapa segera bagi urusan pendaftaran bengkel tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, Annuar turut mengumumkan pihaknya kini bersedia sepenuhnya memikul tanggungjawab bagi menganjurkan satu perlawanan persahabatan antarabangsa di antara skuad kebangsaan menentang Myanmar di Kota Bharu pada 18 Jun ini.

“Kita sudah pun mengadakan mesyuarat bersama pihak FAM baru-baru ini dan kita diberi mandat untuk menganjurkan perlawanan persahabatan itu di Kota Bharu pertengahan bulan ini. Segala urusan berkaitan persiapan, promosi, logistik, jemputan dan logistik bagi kedua-dua pasukan diuruskan oleh kita sepenuhnya.

“Kita juga telah mengemukakan permohonan kepada pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) bagi tujuan penambahbaikan termasuklah bilik persalinan pemain. Selain itu, kita turut mengawalselia keadaan padang bagi memastikan ianya dapat digunakan pada tarikh tersebut.

“Kita bercadang untuk menjual tiket perlawanan itu pada 14 Jun ini, iaitu pada tarikh perlawanan Liga Super diantara Kelantan menentang Perak di Kota Bharu. Saya percaya, semua peminat tempatan termasuk dari luar Kelantan akan hadir menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment