Sunday, June 5, 2011

FAM RAYU BERI MAKLUMAT


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan rasuah agar tampil melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan segera.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba bersekongkol disebalik kegiatan mengatur perlawanan dalam Liga Malaysia itu.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sentiasa mengambil pendirian tegas mengenai soal gejala rasuah ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Kita sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib bagi membolehkan perkara ini disiasat ke peringkat akar umbi. Oleh kerana siasatan sedang dijalankan dan masih belum lengkap, jadi saya berharap segala spekulasi dihentikan kerana ianya boleh menggangu siasatan pada masa sekarang.

“Saya berharap semua pihak termasuk juga pemain, pegawai pasukan atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat agar tampil melaporkan kepada pihak berkuasa. Usaha membanteras kegiatan rasuah bukan terletak kepada pihak FAM sahaja, tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak,” katanya.

Sambil merujuk kepada isu rasuah yang melanda skuad Piala Presiden Negeri Sembilan ketika ini, Annuar percaya kegiatan tersebut mungkin tidak berlaku pada pasukan itu sahaja malah mungkin beberapa pasukan lain turut terbabit sama didalam kegiatan tersebut.

“Kita percaya mungkin ada pasukan lain, pemain lain atau terdapat percubaan pihak tertentu yang mahu menghidupkan kembali kegiatan mengatur perlawanan itu. Kalau perkara ini berlaku ke atas Negeri Sembilan, ianya mungkin juga boleh berlaku kepada pasukan lain.

“Kalau Negeri Sembilan boleh beri kerjasama tetapi pasukan lain tidak melaporkan itu tidak memberi makna kepada kita. Kita bukan sahaja mahu tahu pemain mana yang terlibat atau siapa ‘bookie’ terbabit tetapi kita mahu mereka semua diheret ke muka pengadilan. Liga kita seharusnya bersih daripada kegiatan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan tidak mendapat sebarang laporan berkaitan kegiatan mengatur perlawanan melibatkan pasukan Liga Super Kelantan sehingga kini.

“Apa yang boleh saya katakan, perkara ini (kegiatan rasuah) tidak berbangkit disini. Ini bererti pasukan Kelantan bebas daripada kegiatan rasuah. Pasukan Liga Super kita berada ditangga teratas malah pasukan Piala Presiden juga menduduki tangga teratas. Ini bermakna pasukan kita bebas daripada masalah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment