Sunday, June 5, 2011

FAM PERHALUSI FORMAT TIDAK LAMA LAGI


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan akan membincangkan secara terperinci mengenai format baru pertandingan Liga Malaysia untuk musim depan tidak lama lagi.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan peraturan dan promosi, pasukan Selangor PKNS FC dan Sarawak sudahpun diumumkan sebagai juara dan naib juara Liga Premier musim ini.

“Seperti kita sedia maklum Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) sedang menyusun perakuan tertentu untuk format liga musim depan. Begitu juga pihak Malaysian Super League (MSL) juga ada membuat perakuan namun ianya hanya perakuan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Keputusan muktamad hanya akan diputuskan oleh Ahli Majlis FAM yang akan bermesyuarat kemudian. Kita akan mengkaji secara mendalam daripada setiap sudut dan selepas itu barulah ahli majlis akan membuat keputusan.

“Jadi saya berharap tidak timbul polemik yang berlebihan tentang perkara ini. Kita kena bagi ruang secukupnya kepada pihak FAM dalam membuat penelitian termasuk daripada segi pengambilan pemain import dan sebagainya. Perkara ini kita sudah maklum sejak awal musim lagi,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap pasukan Selangor PKNS FC dan Sarawak dapat bersabar sebelum pengumuman mengenainya dibuat dalam tempoh terdekat. 

Sementara itu mengulas mengenai perlawanan akhir Piala FA membabitkan pertemuan Terengganu menentang Kelantan pada 11 Jun ini, Annuar yang juga Pengerusi MSL berkata, pihaknya FAM telah mengambil langkah yang sewajarnya termasuk dari segi aspek keselamatan bagi memastikan ianya dapat berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya menyeru kepada penyokong kedua-dua pasukan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak FAM, perbadanan stadium dan anggota keselamatan bagi memastikan perlawanan tersebut dapat disaksikan dalam semangat kesukanan yang tinggi.

“Kita belajar daripada pengalaman musim lalu. Bukan sahaja aspek keselamatan dititik beratkan tetapi juga daripada segi keselesaan penonton juga akan diambil kira. Kita berharap penyokong kedua-dua pasukan tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan peraturan pertandingan.

“Pembelian tiket digalakkan di negeri masing-masing. Jawankuasa Tiket dan Pintu FAM juga menetapkan baki 25,000 keping tiket akan dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini. Kita juga akan melakukan pemeriksaan terperinci ke atas setiap tiket bagi mengelakkan daripada berlakunya penularan tiket palsu pada perlawanan akhir ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment