Thursday, May 12, 2011

PEMINAT KECEWA BENDERA DIBAKAR


Imbas kembali...bendera Kelantan dibakar oleh segelintir penyokong tuan rumah yang tidak bertanggungjawab sejurus perlawanan Negeri Sembilan menentang Kelantan, berakhir malam kelmarin. 

KOTA BHARU – Apa sudah jadi ? Amat memalukan !! Tidak pernah terjadi lagi bendera negeri Kelantan dihina sedemikian rupa. Itulah yang terjadi sebaik sahaja tamat perlawanan membabitkan pertemuan Negeri Sembilan menentang Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam semalam.

Insiden bendera negeri Kelantan di bakar oleh segelintir penyokong Negeri Sembilan mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab penyokong negeri itu malah ianya cukup memalukan bagi sebuah negeri yang kaya dengan adat resamnya.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood berkata, pihaknya cukup kecewa apabila bendera Kelantan dibakar oleh segelintir penyokong Negeri Sembilan sejurus perlawanan berakhir.

“Kami memandang serius perbuatan membakar bendera negeri Kelantan di Paroi malam semalam. Tidak pernah terjadi bendera negeri Kelantan dihina sedemikian rupa. Bendera negeri merupakan lambang kebanggaan setiap rakyat negeri, jadi mengapa harus diperlakukan sebegitu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Kita berharap pihak berwajib termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara ini dengan segera. Kita tidak mahu apabila penyokong Kelantan melakukan kesalahan dikenakan hukuman namun apabila penyokong negeri lain melakukan kesalahan lebih berat tapi terlepas pula daripada sebarang bentuk hukuman.

“Mungkin orang selalu mengatakan penyokong kita terlalu fanatik. Itu mungkin tidak dapat dinafikan tetapi sejahat-jahat kita sekalipun, kita tidak pernah tergamak untuk membakar bendera negeri lain. Saya fikir individu yang melakukan perkara tersebut harus menerima hukuman sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, seorang penyokong tegar TRW dari Pasir Mas, Musa Mohd Noor, 65 tahun yang turut menyaksikan perlawanan Negeri Sembilan menentang Kelantan di Paroi  turut melahirkan kekecewaannya apabila melihat bendera negeri sendiri dibakar, malam semalam.

“Kekecewaan dengan keputusan seri angkara beberapa keputusan pengadil yang tidak tepat mungkin boleh diterima lagi. Tetapi apabila melihat bendera negeri sendiri dibakar, saya fikir semua rakyat negeri Kelantan tidak boleh menerima perkara ini.

“Ianya merupakan satu penghinaan kepada kita. Cuba fikir apa perasaan penyokong negeri lain kalau kita bakar bendera negeri mereka. Sudah pasti mereka marah, begitu juga dengan kita. Memberi sokongan sekali pun, janganlah sampai ghairah melakukan tindakan yang melampai tatasusila.

“Disaat kita sebagai penyokong Kelantan sudah pun belajar untuk menjadi antara penyokong terbaik, masih ada pihak diluar sana yang cuba mengajar kita untuk melakukan tindakan biadap. Walhal, kita sentiasa mengingat pesanan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang mahu menjadikan penyokong Kelantan terbaik pada musim ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment