Thursday, May 12, 2011

KARATHU YAKIN MAMPU BANGKIT

Pemain pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak cuba mengekang kemaraan Mohd Aliff Samsuddin dalam pertembungan Negeri Sembilan menentang Kelantan di Paroi, malam kelmarin.

KOTA BHARU – Ketumpulan jentera serangan memanfaatkan peluang terhidang akhirnya membawa padah apabila Kelantan terpaksa melepaskan gelaran penerajui takhta liga kepada Selangor, malam semalam.

Kelantan terpaksa berpuas hati mengutip satu mata setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kurang berpuas hati dengan keputusan seri itu tatkala penampilan anak buahnya dilihat lebih garang menguasai permainan pada babak pertama.

“Susah pasti saya tidak gembira dengan keputusan seri ini. Hakikat yang jelas kita menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dengan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol namun barisan pemain kita gagal merealisasikannya.

“Negeri Sembilan pula mempamerkan aksi tersendiri bangkit menguasai babak kedua. Seharusnya kita meraikan kemenangan apabila menjaringkan gol pada masa tambahan. Saya rasa pemain saya tidak berada didalam kedudukan ofsaid ketika itu. Muhammad Khalid (Jamlus) telah meletakkan bola didalam pintu gol lawan namun kemenangan kita dinafikan.

“Kita kehilangan mata penting dalam perlawanan ini. Kita sebenarnya mahukan kemenangan bagi menyuntik semangat pemain bagi menghadapi Selangor dalam separuh akhir Piala FA namun itu tidak berlaku. Kita ada masa dua hari untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Selangor dan saya positif kita mampu bangkit,” katanya.

Begitu pun, menurut Karathu, beliau cukup positif The Red Warriors masih mampu mengapai kejuaraan Liga Super buat pertama kali dengan syarat perlu memenangi kesemua baki tujuh perlawanan selepas ini.

Sementara itu pengendali Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah cukup gembira kerana berjaya mengutip satu mata dalam perlawanan itu sekalipun ramai pemainnya dilanda masalah kecederaan yang berpanjangan.

“Apa yang kita rancangkan menjadi pada perlawanan ini. Kita berjaya menyekat bahagian tengah Kelantan daripada menguasai perlawanan ini dengan memintas hantaran merbahaya mereka. Pada masa yang sama juga kita turut mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Tidak keterlaluan saya katakan kita nyaris menang malam ini. Pujian harus diberikan kepada pemain saya yang menunjukkan semangat juang yang tinggi dan persembahan mereka cukup membanggakan walaupun ramai pemain kita sebenarnya mengalami kecederaan.

“Sumbangan pemain veteran, Mohd Shukor (Adan) cukup bagus apabila mampu melaksanakan tugas sebagai penyerang dengan baik. Malah, aksi Irwan Fadzli (Idrus) juga cukup cemerlang mengekang banyak serangan pemain Kelantan. Jelas, pengalaman mereka digunakan sebaiknya diatas padang selain mampu membimbing pemain-pemain muda yang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment