Sunday, May 15, 2011

619 MINIT TANPA BOLOS

Kehebatan Khairul Fahmi digawang gol Kelantan bakal teruji malam ini apabila bertemu dengan Selangor

KOTA BHARU – Reputasi Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gol utama kebangsaan pernah diragui gara-gara beliau mempamerkan prestasi buruk ketika menjaga gawang gol The Red Warriors sepanjang perlawanan bulan April lalu.

11 gol yang dilepaskan dalam empat perlawanan iaitu merangkumi perlawanan menentang Pahang (0-2), Harimau Muda ‘A’ (2-1), T-Team (3-4), dan Perak (0-4) bukannya satu jumlah yang sedikit bagi seorang penjaga gol bertaraf kebangsaan.

Namun situasi itu kini berbeza sama sekali. Rekod tanpa bolos dalam enam perlawanan dengan kali terakhir pintu gonya dibolosi pada pertemuan menentang Perlis di Kangar pada 19 April lalu membuktikan dia kini kembali ke kemuncak prestasinya.

Khairul Fahmi ketika dihubungi mengakui keterujaannya sementelah rekod tanpa bolos 619 minit itu kini mengatasi rekod yang dilakukan oleh rakan sepasukannya, Shahrizan Ismail selama 488 minit dua tahun lalu.

“Tidak terfikir pun untuk melakukan seperti itu (memecahkan rekod) kerana tugas saya sudah pasti tidak mahu gawang gol Kelantan dibolosi. Rekod itu menjadi perangsang kepada saya untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi apabila turun menentang Selangor malam esok (ini),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Ini bukan kejayaan saya seorang kerana ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan lain  yang bergerak sebagai satu pasukan. Saya berharap malam esok (ini) prestasi rakan-rakan yang lain berada ditahap tertinggi.

“Memang format pertandingan Piala FA berbeza kerana menggunakan peraturan gol ditempat lawan. Kalau Selangor hendak menang, kita pun hendak menang juga. Insya Allah saya percaya kita mampu melakarkan kemenangan dengan syarat semua pemain bekerja lebih keras malam esok (ini),” katanya.

Menurutnya, sekiranya semua pemain beraksi mengikut arahan jurulatih, tidak ada sebab bagi pasukannya untuk tidak boleh mencatatkan kemenangan ke atas Selangor di Stadium Shah Alam malam esok.

“Kita mahu mencari bekalan selesa bagi dibawa pulang ke Kota Bharu. Sebarang kesilapan kecil harus dielakkan dan saya percaya percaturan taktikal jurulatih Datuk M Karathu mampu mengecewakan anak buah K Devan dihadapan penyokong mereka sendiri.

“Saya dan rakan sepasukan yang lain sudah pasti bermain mati-matian malam esok (ini). Saya berharap kemenangan berpihak kepada kita. Sudah pasti sokongan peminat Kelantan ditagih bagi membolehkan gelombang merah menakluki Stadium Shah Alam malam esok (ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment