Thursday, May 12, 2011

ARMY DI KETEREH ESOK


B SATHIANATHAN 

KOTA BHARU – Memandangkan sambutan yang diterima cukup menggalakkan, sebuah lagi pusat latihan Akademi Bola Sepak Al-Hambra Red Warriors (ARMY) akan diwujudkan di daerah Ketereh apabila sesi pemilihan pemainnya akan berlangsung padang Majlis Daerah Ketereh (MDK) bermula jam lapan pagi esok. 

Ini bermakna Ketereh akan menjadi daerah yang keenam bakal diwujudkan akademi itu oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan jumlah keseluruhan pesertanya bakal mencecah 240 pelajar. Terdahulu, ARMY telah mengadakan sesi pemilihan di Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Tanah Merah dan terakhir Kuala Krai minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ARMY, B Sathianathan berkata, sesi pemilihan kali ini terbuka kepada pelajar di daerah berkenaan untuk mencuba nasib menyertai pasukan bawah 14 tahun dan 16 tahun di akademi itu.

“Kita sudah mengedarkan borang pernyertaan di sepuluh sekolah yang terpilih disekitar Ketereh. Selain itu, pelajar juga boleh mendapatkan borang di pejabat Kafa di Kota Bharu selain di pejabat Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Peringat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Mereka tidak perlu risau untuk menghantar borang kerana kita masih menerima borang penyertaan daripada mereka sehingga jam 11 pagi pada sesi pemilihan esok. Justeru, kita menggalakkan pelajar yang berminat untuk datang lebih awal pada hari esok.

“Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa sendiri akan turun padang untuk menyaksikan sesi pemilihan terakhir ini. Saya percaya sambutan daripada pelajar di daerah ini tidak kurang hebatnya berbanding ditempat lain sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment