KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan melancarkan pengenalan jersi baru Akademi Bola Sepak Alhamra Red Warriors (ARMY) di Kafe The Red Warriors Station, Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) pada jam dua petang hari ini.
Jersi baru itu akan diguna pakai oleh pelatih keenam-enam akademi ARMY yang akan memulakan sesi latihan sulungnya pada 27 Mei ini. Serentak dengan itu, satu Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) diantara penaja bersama dengan ARMY akan dilangsungkan dalam majlis perlancaran jersi baru itu
Pegawai Media Kafa, Wan Badri Wan Omar berkata, sebanyak tujuh penaja bersama akan berganding bahu untuk bersama-sama merealisasikan program pencarian bakat muda bersama ARMY selepas ini.
“Pihak Warriors Solutions akan menjadi penaja kepada ARMY Kota Bharu Satu, Alhamra (Kota Bharu Dua), UMBRO (Kota Bharu Tiga) sementara Yusmira Trading Sdn Bhd menjadi penaja kepada ARMY di Tumpat,” katanya ketikak dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Selain itu, Sinar Harian akan menjadi penaja kepada ARMY Bachok, Ikmal Motors (Tanah Merah) dan Wana Group pula akan menjadi penaja kepada ARMY Kuala Krai. Keenam-enam penaja ini akan menandatangani memorandum persefahaman serentak pada majlis perlancaran jersi ini.
“Jersi ARMY ini juga akan mula dijual kepada orang ramai bermula hari ini dengan harga pengenalan RM49.90. Bagi peminat-peminat The Red Warriors mereka boleh mendapatkan jersi ini dikedai-kedai sukan terpilih,” katanya.
No comments:
Post a Comment