Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha meraikan jaringan gol kelima Kelantan bersama rakan sepasukan sementara pemain Selangor, Mohd Asrarudin Putra Omar jelas kecewa.
KOTA BHARU – Hanya 90 minit akan menentukan. Itulah masa yang diperlukan oleh Kelantan untuk mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir kempen Piala FA buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
Tanpa motivasi tinggi, jelas Selangor bertandang ke Kota Bharu dalam suasana masih ‘berkabung’ setelah terkulai layu 1-5 dalam aksi separuh akhir pertama di Shah Alam. Aksi longlai benteng pertahanan, kegugupan penjaga gol, jentera tengah serba tidak menjadi serta ketumpulan jentera serangan menghantui kem Selangor setelah diaibkan begitu mudah dihadapan penyokong sendiri.
Dua tahun lalu, Selangor pernah mengecewakan Kelantan dalam pentas final Piala FA. Impian Kelantan untuk meraih kejuaraan pertama akhirnya lebur menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga ke masa tambahan.
Jelas dendam Kelantan tidak pernah padam untuk menyingkirkan Selangor yang sentiasa dianggap gah dengan koleksi kejuaraannya. Malah Selangor juga selalu menganggap Kelantan sentiasa menjadi penghalang kepada cita-citanya untuk meraih trofi kejuaraan musim ini. Buktinya, mereka gagal mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah penghujung Januari lalu setelah tewas 0-2 kepada Kelantan.
Namun malam ini, situasinya cukup berbeza tetapi skrip yang sama bakal diterjemahkan betapa kuasa besar bola sepak tempatan itu pastinya ditunjukkan jalan keluar untuk membolehkan The Red Warriors mara ke perlawanan akhir edisi kali ini.
Bagi pengendali Selangor, K Devan, kekalahan terbesar 1-5 sejak membimbing pasukan itu tiga tahun lalu pasti menjadi mimpi ngeri sepanjang kariernya bergelar jurulatih. Tidak pernah terduga Selangor tewas sebegitu mudah lebih-lebih lagi dihadapan penyokong mereka sendiri.
Sukar bagi Selangor untuk menang di Kota Bharu apatah lagi badi kekalahan sentiasa menghantui mereka setiap kali bertemu dengan Kelantan. Malah rekod pertemuan menunjukkan kali terakhir Selangor berjaya mengalahkan Kelantan di Kota Bharu kira-kira sembilan tahun lalu.
Bersandarkan kemenangan besar tempohari, maka tidak hairanlah Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mempunyai sebab tersendiri untuk menyatakan pasukan bimbingannya mampu melakar sejarah mara ke perlawanan akhir edisi kali ini.
Malah, kata-kata sinisnya ‘ada sesuatu yang tidak kena didalam bola sepak’ sekiranya Kelantan gagal melangkah ke pentas akhir, sejurus tamat perlawanan di Shah Alam tempohari tidak sukar untuk difahami betapa tinggi impiannya mahu membawa Kelantan ke pentas akhir setelah gagal berbuat demikian 18 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment