Monday, May 16, 2011

SELANGKAH KE FINAL

Karathu (berbaju putih ) cukup yakin mampu membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini. 

KOTA BHARU – Tatkala pengendali Selangor, K Devan perlu memikirkan ramuan khas untuk pasukannya mencari seberapa banyak gol pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA malam ini, berbeza pula reaksi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang sedikit pun tidak tertekan malah lebih bersemangat menceritakan persiapan pasukan kendaliannya.

Berbekal kelebihan empat gol,  jelas Karathu tanpa bersembunyi  mengakui beliau cukup optimis bahawa mampu membawa The Red Warriors mara ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

“Turun tanpa dua pemain pertahanan, Zairul Fitree (Ishak) dan Mohd Farisham (Ismail) tidak menjejaskan perancangan saya. Saya akui Selangor bakal memberikan tentang sengit sekali pun menyedari peluang mereka cukup sempit untuk mencipta kemenangan di Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Justeru saya menganggap kita masih belum layak ke perlawanan akhir selagi tempoh 90 minit belum berakhir. Satu perkara yang saya ingatkan kepada pemain bahawa ini peluang terbaik bagi mereka untuk menunjukkan persembahan cemerlang mereka dihadapan penyokong setia sendiri.

“Dua misi berbeza bahawa kita harus mempertahankan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dan seperkara lagi betapa pentingnya untuk kita terus melebarkan rekod kemenangan kita ke atas Selangor. Soal siapa lawan kita di perlawanan akhir, nanti kita fikir kemudian,” katanya.

Menurut Karathu, latihan terakhir pasukan Kelantan petang ini (semalam) lebih tertumpu kepada perubahan formasinya dalam mencari kesebelasan pemain terbaik setelah dua tonggak utama di benteng pertahanan terpaksa disisihkan gara-gara mengumpul dua kad kuning.

“Tidak ada masalah tanpa dua tonggak yang digantung itu. Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) dan Mohamad Ab Aziz (Ismail) mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama. Saya tengah mencongak strategi ampuh untuk mengekang barisan pemain Selangor.

“Kita tidak akan bermain secara bertahan. Itu bukan cara kita bermain apabila menentang pasukan kuat seperti Selangor. Sebaliknya kita akan bermain seperti biasa dan saya mahu pemain mendapatkan gol awal bagi membunuh semangat juang pemain lawan. Saya tidak mahu pemain mensia-siakan peluang seperti yang berlaku pada babak kedua di Shah Alam tempohari.

“Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) juga akan diberikan peranan sebagai penggempur utama. Dia memang belum menemui rentak sebenar kerana hanya baru diturunkan dalam perlawanan lalu namun saya percaya sumbangan dia cukup penting bagi kejayaan pasukan,” katanya.  

Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Shah Alam pada Jumaat lalu, Kelantan berpesta gol setelah membelasah Selangor dengan kemenangan 5-1. Dalam perlawanan itu, Muhammad Ramzul Zahini Adenan berjaya menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi masing-masing menerusi sumbangan Muhd Badhri Radzi, Mohd Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha.

No comments:

Post a Comment