Thursday, May 12, 2011

SUNTIK SEMANGAT PEMAIN MUDA

MOHD YUSRI ISMAIL 

KOTA BHARU – Tempoh rehat selama dua minggu dipergunakan sebaiknya oleh pihak pengurusan skuad Piala Presiden Kelantan apabila kesemua 25 pemain dan lima pemain Liga Super Kelantan menyertai program ‘rehat minda’ selama dua hari satu malam bertempat di Bali Beach Village, Tok Bali dekat Pasir Puteh, bermula semalam.

Lima pemain Liga Super yang turut menyertai program ini ialah Wan Zaman Wan Mustapha, Mohamad Ab Aziz Ismail, Zul Yusri Che Harun, Khairan Eroza Razali dan Solehin Kanasian Abdullah.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, program itu bertujuan untuk memberi peluang kepada semua pemainnya merehatkan mental dan fizikal setelah mengharungi saingan liga yang cukup padat sejak Januari lalu.

“Kita membawa mereka ke sini (Tok Bali) bagi memberi peluang kepada mereka untuk berehat sambil turut menjalani latihan dan satu perlawanan persahabatan. Kita akan mengadakan jamuan barbeku diatas kejayaan Kelantan yang sudah sebelah kaki mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Hari ini (semalam) mereka menjalani sesi latihan di Pasir Puteh bagi membolehkan peminat disini melihat aksi mereka dengan lebih dekat. Esok (Khamis) mereka akan mengadakan satu siri perlawanan persahabatan menentang pasukan Pilihan Gaal pada jam lima petang di padang SMK Jeram dekat ini. Kita menjemput orang ramai hadir menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment