ZAHASMI ISMAIL
KOTA BHARU – Sekian lama berehat panjang, penggempur utama skuad Piala Presiden Kelantan, Mohd Aris Zaidi kini bersedia diturunkan apabila Kelantan bertemu Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang ini.
Mohd Aris terpaksa berehat panjang setelah mengalami kecederaan patah tulang bahu ketika bertemu lawan yang sama dalam aksi pusingan pertama di Kepala Batas, dua bulan lalu.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, melihat kepada kesungguhan yang ditunjukkan oleh Mohd Aris dalam sesi latihan sejak kebelakangan ini, beliau percaya pemain itu kini bersedia sepenuhnya untuk kembali beraksi berada didalam kesebelasan utama pemain Kelantan.
“Saya percaya dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut malah begitu bersemangat untuk kembali di dalam kesebelasan utama. Buktinya, dia menjaringkan dua gol ketika kita mengalahkan sebuah kelab yang berpengkalan di Kota Bharu dengan kemenangan 5-0 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Ini memberikan banyak pilihan kepada saya untuk menyenaraikan pemain dijentera serangan Kelantan. Sebelum ini saya kerap kali terpaksa menukar strategi dan menyandarkan tugas penggempur kepada Mohd Khairul Izuan (Rosli) selain Mohd Shahiran (Mohd Zain) untuk berpasangan dengan Mohd Farhan (Yaakub).
Mohd Aris Zaidi (duduk, dua kanan) bersedia diturunkan apabila Kelantan bertemu Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammad IV, petang ini.
“Dari segi persiapan, saya percaya pemain kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pulau Pinang hari ini. Tempoh rehat dua minggu mungkin sedikit menjejaskan momentum persembahan pasukan kita tetapi saya percaya itu bukan masalah besar bagi kita untuk mengembalikan rentak itu,” katanya.
Menurutnya, beliau sesekali tidak memandang mudah pertemuan dengan Pulau Pinang biarpun pernah mengalahkan pasukan itu 2-1 dalam perlawanan pusingan pertama tidak lama dulu.
“Kita tetap menghormati keupayaan pasukan itu sekalipun kedudukan mereka agak terkebawah dalam carta liga ketika ini. Saya mengingatkan kepada pemain tidak mengambil mudah perlawanan ini sebaliknya mereka perlu menganggap Pulau Pinang seperti pasukan-pasukan yang lain.
“Amat penting bagi kita untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan ini. Ini bagi memastikan kita terus memberi tekanan kepada Sabah yang masih menghuni kedudukan teratas.
Dengan hanya berbaki lima perlawanan liga untuk ditamatkan, saya tidak mahu kita tercicir mata sebaliknya terus mengutip mata maksima bagi mencerahkan peluang mengisi salah satu slot ke peringkat suku akhir,” katanya.
No comments:
Post a Comment