Penyerang veteran, Muhammad Khalid cuba menggelecek pemain Selangor, Mohd Bunyamin dalam aksi malam kelmarin.
KOTA BHARU – Biarpun gagal membawa Selangor melangkah ke perlawanan akhir Piala FA musim ini, namun Ketua Jurulatihnya, K Devan tetap berpuas hati diatas pencapaian pemainnya yang dilihat masih mampu memberi saingan sekalipun bertandang ke Kota Bharu dengan misi yang cukup sukar untuk mencipta kemenangan.
Dalam saingan separuh akhir kedua di Kota Bharu, malam semalam, gol penyamaan menerusi penyerang, Rudie Ramli pada m-78 berjaya mengikat keputusan seri 1-1 dengan Kelantan seterusnya menyelamatkan maruah pasukan Selangor daripada terus dihimpit kekalahan berpanjangan kepada Kelantan sepanjang musim ini.
“Sekurang-kurangnya kami tidak kalah lagi kepada Kelantan terutamanya bermain di Kota Bharu. Kalau dilihat prestasi kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama, memang Kelantan berjaya menguasai permainan pada babak tersebut, namun pada babak kedua saya lihat kita bermain dengan baik dan menguasai perlawanan,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.
“Bahkan kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Memang saya tidak menurunkan beberapa tonggak utama seperti Mohd Fadzli (Shaari) dan Shafiq (Rahim) dalam perlawanan ini dan kita masih boleh seri dengan Kelantan.
“Saya rasa keputusan ini cukup baik dan mampu menyuntik semangat baru kepada pemain untuk terus bersaing dalam Liga Super selepas ini. Kita lupakan episod kegagalan dalam kempen Piala FA dan kembali fokus kepada saingan liga selepas ini,” katanya.
Menyentuh mengenai tindakan perancang tengah, Mohd Hardi Jaafar yang dilihat sedikit beremosi setelah dikeluarkan pada pertengahan babak kedua, Devan mengakui pemain itu begitu kecewa setelah gagal membantu pasukannya melakarkan kemenangan di Kota Bharu.
“Sebelum perlawanan, semua pemain sudah berjanji akan bermain mati-matian untuk mengalahkan Kelantan dihadapan penyokong mereka sendiri. Soal layak atau tidak ke perlawanan akhir itu perkara kedua, tetapi mereka sebenarnya menanamkan semangat yang tinggi untuk mengalahkan Kelantan di sini (Kota Bharu).
“Sebagai seorang jurulatih, saya memahami perasaan dia. Apabila dikeluarkan, dia begitu kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan Selangor untuk mengalahkan Kelantan di sini. Walauapapun, saya tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan beberapa pemain simpanan yang diberi peluang beraksi malam ini.
“Keputusan seri ini saya terima dengan hati terbuka. Sekurang-kurangnya kita masih mampu menyekat Kelantan daripada terus mengalahkan Selangor sepanjang musim ini,” katanya.
tok abih2 bual besar kakah nih. male esok ado live di arena, felda vs kelate deh?
ReplyDelete