Sunday, May 15, 2011

BADI KEKALAHAN HANTUI SELANGOR

M Karathu

KOTA BHARU – Pertemuan dua musuh tradisi bola sepak tempatan, Selangor menentang Kelantan dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, malam ini dijangka membuka lembaran baru bagi memperbaharui rekod pertemuan kedua-dua pasukan.

Rekod pertemuan 11 perlawanan diantara Selangor menentang Kelantan sejak tiga tahun lalu berpihak kepada The Red Warriors yang memenangi empat perlawanan, lima kali seri dan dua kali kalah. Dua pertembungan  terakhir membabitkan perlawanan Liga Super musim ini berpihak kepada Kelantan yang menang 2-0 di Shah Alam dan 1-0 di Kota Bharu penghujung April lalu.

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan, kali terakhir Selangor menewaskan Kelantan dalam tempoh 90 minit perlawanan ialah pada 28 Februari 2009 dimana The Red Giants menang 3-0 hasil dua gol jaringan D Surendran dan R Surendran di Stadium Shah Alam.

Pada tahun yang sama, Selangor turut mencatatkan kemenangan ke atas Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti 5-4, itupun setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga ke masa tambahan dalam perlawanan akhir Piala FA.

K Devan

Selepas itu, Kelantan tidak lagi membenarkan Selangor sewenang-wenangnya menang mudah sebaliknya enam pertemuan termasuk dalam kempen Piala Malaysia daritahun lalu hingga sekarang jelas memihak kepada Kelantan yang menang empat perlawanan dan seri dua kali.

Jelas di atas kertas, rekod pertemuan diantara kedua-dua pasukan berpihak kepada Kelantan namun itu bukan jaminan bagi The Red Warriors untuk menakluki Stadium Shah Alam malam ini.

Bagi Ketua Jurulatih merangkap Pengurus Pasukan Selangor, K Devan sendiri mengakui pasukan kendaliannya sudah tidak boleh kalah lagi apabila bertemu dengan Kelantan. Beliau mahu menjadikan pertembungan malam ini sebagai penamat kepada badi kekalahan Selangor sejak sekian lama.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu turut membawa misi yang besar mahu mengekalkan rekod cemerlang yang ditinggalkan oleh bekas pengendali terdahulu iaitu Peter James Butler dan B Sathianathan untuk memimpin pasukannya melangkah ke pentas final buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Biarpun itu impian berbeza bagi kedua-dua pengendali pasukan, namun semangat juang yang tinggi dalam kalangan barisan terkuat sahaja yang bakal menentukan pasukan manakah berhak keluar sebagai pemenang dalam pertembungan paling menarik malam ini. 

No comments:

Post a Comment