Tuesday, April 5, 2011

T-TEAM, KELANTAN BERENTAP LAGI

Karathu (tiga,kanan) serius mengendalikan latihan 'set piece' dalam sesi latihan terakhir skuad Kelantan di Kota Bharu, pagi semalam.

KOTA BHARU – Tidak sampai dua bulan menyingkirkan T-Team dalam saingan kempen Piala FA musim ini, dua seteru baru bola sepak tempatan, T-Team dan Kelantan sekali lagi turun berentap dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Ini merupakan pertembungan kali kedua bagi kedua-dua pasukan dalam tempoh tidak sampai dua bulan. Dalam aksi pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA pada Februari lalu, Kelantan berjaya mengetepikan perjuangan T-Team menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga ke masa tambahan.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu dalam nada merendah dirinya berkata, pertemuan menentang kelab dari Terengganu itu merupakan satu perlawanan yang menjanjikan pertarungan sengit memandangkan kedua-dua pasukan itu kini tidak mahu tercicir mata lagi dalam setiap perlawanan yang dilalui sementelah saingan liga sudah menampakkan kerancakannya.

“T-Team merupakan sebuah pasukan yang kuat kerana mereka mempunyai ramai pemain yang berkaliber serta berpengalaman. Malah kejayaan mereka menewaskan Sabah 3-0 tempohari membuktikan mereka kini mula bernafsu besar untuk mengalahkan mana-mana pasukan lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengendalikan sesi latihan terakhir di Kota Bharu, semalam.

Karathu memerhatikan anak buahnya menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam

“Semua pasukan termasuk juga T-Team mempunyai motivasi yang tinggi setiap kali bertemu dengan kita. Bila kita mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga ketika ini, semua pasukan memasang impian untuk mengalahkan Kelantan dan mereka akan menunjukkan satu mutu permainan yang luar biasa.

“Namun itu tidak bermakna kita tunduk kepada kehebatan mereka. Kita sudah tahu macam mana corak permainan mereka kerana kita pernah bertemu dalam saingan pusingan pertama kempen Piala FA tidak lama dulu. Malah kita berupaya memberi saingan sengit selama 120 minit dalam perlawanan tersebut.

Karathu berkata, elemen kekuatan mental pemain sentiasa menjadi keutamaan bagi beliau dalam memperkasakan pasukan Kelantan memandangkan semua pasukan termasuk Kelantan perlu mengharungi sebanyak sembilan perlawanan liga sepanjang bulan ini.

“Saya akui memang kita akan berhadapan dengan tekanan ketika turun beraksi malam ini, jadi saya perlu menyusun strategi tersendiri bagi menghadapi situasi tersebut. Sudah pasti saya menuntut kerja keras daripada semua pemain. Kita baru selesai satu perlawanan (menentang Harimau Muda) dan masih ada baki lapan perlawanan lagi.

“Apa yang penting, saya selalu tekankan kepada pemain supaya memanfaatkan setiap peluang yang diperolehi. Bola sepak adalah menjaringkan gol dan sekiranya kita gagal memanfaatkan peluang bererti kita berhadapan kesukaran untuk mencipta kemenangan. Dalam sesi latihan sejak dua hari lalu, saya turut memberi tumpuan mempertajamkan jentera serangan yang dilihat buntu setiap kali mempunyai peluang di depan pintu gol.

“Di atas padang, semua pasukan adalah musuh kita dan bukan setakat pasukan T-Team sahaja. Arahan saya kepada pemain cukup jelas, kalau kita mahu mengukuhkan kedudukan dipersada liga, kita mesti menang perlawanan malam ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment