Sunday, April 3, 2011

KARATHU LEGA, KIM SWEE HAMPA

Pemain Sayap, Solehin Kanasian merembat kencang biarpun cuba dihalang pemain pertahanan Harimau Muda, Mohd Affize Faisal Mamat
 KOTA BHARU –Biarpun diasak hebat oleh pasukan Harimau Muda sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap menarik nafas lega setelah pasukan kendaliannya berjaya mengutip tiga mata penuh di Kota Bharu.

Dalam perlawanan Liga Super malam semalam, Kelantan diberi saingan sengit oleh Harimau Muda sebelum mencatatkan kemenangan 2-1 dalam perlawanan tersebut. Gol-gol Kelantan dijaringkan Solehin Kanasian Abdullah pada m-11 dan S Chanturu pada m-24 perlawanan. Sementara gol tunggal pasukan Harimau Muda dijaringkan Mohd Irfan Fazail pada babak akhir separuh masa pertama.

“Ini merupakan satu perlawanan yang cukup sengit kerana kita berhadapan dengan sebuah pasukan kebangsaan yang mempunyai kekuatan daripada segenap posisi. Memang saya sedari daripada awal tentangan sengit yang diberikan Harimau Muda kerana mereka mengamalkan corak permainan yang cukup laju,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, semalam.

“Sebab itu saya mengerahkan jentera tengah kita bekerja keras dalam perlawanan ini. Namun, jentera tengah tidak berfungsi dengan efektif, jadi saya terpaksa membuat pertukaran pemain diposisi tersebut bagi menguatkan corak permainan secara bertahan pada babak kedua. Saya terpaksa mengeluarkan Mohd Nurul Azwan (Roya) dan menggantikan Mohamad Ab Aziz (Ismail). Saya mahu jentera tengah kita bermain secara bertahan dengan lebih baik.

“Saya fikir sekiranya S Chanturu berjaya memanfaatkan kedua-dua peluang terbaiknya dalam perlawanan ini, kita seharusnya berada dalam keadaan yang cukup selesa dan tidak mengalami tekanan terutamanya pada penghujung perlawanan,” katanya. 
Kesebelasan utama pemain Kelantan yang beraksi dalam pertemuan menentang Harimau Muda, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
 
Karathu berkata, beliau bagaimananapun berpuas hati dengan persembahan pemainnya dalam perlawanan ini walaupun mengakui tempoh rehat yang panjang sebelum ini memberi kesan kepada persembahan pasukannya dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya yang berjaya memberi tentangan hebat kepada Kelantan dalam perlawanan malam semalam.

“Pada penghujung perlawanan, pemain kedua-dua pasukan kelihatan agak kepenatan. Kesilapan individu pada separuh masa pertama tidak seharusnya terjadi. Mereka (pemain) harus faham bahawa lawan kita adalah pasukan yang kuat.

“Dalam separuh masa pertama kami sebenarnya mengawal permainan. Berdasarkan statistik, kita melakukan banyak serangan melalui jentera tengah. Sekiranya kita tidak melakukan banyak kesilapan, saya fikir kita dapat berkongsi mata dalam perlawanan ini.

“Jentera serangan kami bermain dengan baik dan kita mempunyai banyak peluang dalam perlawanan ini. Pemain Kelantan terutamanya penjaga gol, Khairul Fahmi (Che Mat) beraksi dengan cemerlang dan menafikan banyak percubaan yang dilakukan oleh penyerang kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment