Tuesday, April 5, 2011

CHANTURU MAHU TEBUS KESILAPAN

Chanturu mahu menebus kembali kesilapan lalu dengan menjaringkan gol untuk Kelantan pada pertemuan menentang T-Team, malam ini. 

KOTA BHARU – Dia memiliki dua peluang terbaik untuk mencipta nama sebagai penjaring gol hatrik dalam perlawanan menentang Harimau Muda tempohari tetapi dipersia-siakan. Namun pertemuan menentang T-Team menjadi titik tolak kepada penyerang Kelantan, S Chanturu untuk menebus kembali kesilapannya dalam perlawanan terdahulu. 

Penyerang yang mendapatkan jolokan “Kelantan Express” dan berasal dari Kulim, Kedah itu  kini melahirkan keazaman baru untuk menebus kembali kesilapan yang dilakukan itu dalam pertemuan menentang kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu malam ini.

“Sekiranya terus diberi kepercayaan berada didalam kesebelasan utama pasukan Kelantan dalam pertemuan menentang T-Team malam ini, saya mahu menebus kembali kesilapan tersebut dan mempamerkan sentuhan berbisa untuk membantu Kelantan mencipta kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

“Sebenarnya saya sudah lama tidak bermain diposisi serangan. Dahulu saya beraksi di posisi kegemaran saya iaitu sayap kanan tetapi kini diberi peranan baru. Jadi musim ini, saya bergandingan dengan Norshahrul Idlan (Talaha) di bahagian jentera serangan Kelantan.

“Memang saya melakukan kesilapan dalam perlawanan (menentang Harimau Muda) tempohari. Sekiranya saya berjaya memanfaatkan dua peluang tersebut sudah pasti saya muncul sebagai penjaring gol hatrik dalam perlawanan itu, tetapi dipersiakan oleh saya,” katanya. 

Menyentuh mengenai persembahannya ketika beraksi dalam perlawanan menentang Harimau Muda tempohari, Chanturu mengakui Kelantan seharusnya mencipta kemenangan besar ke atas pasukan berstatus ‘skuad kebangsaan’ itu kalau tidak kerana kegopohannya memanfaatkan dua peluang terbaik dalam perlawanan itu.

“Saya fikir sekiranya kita berjaya menjaringkan banyak gol dalam perlawanan itu, sudah pasti pasukan lawan tidak berupaya memberi tentangan sengit selepas itu. Susah hendak cakap, hendak kata saya terlampau yakin sebaik sahaja menjaringkan gol pertama rasanya tidak juga.

“Sebaliknya keinginan saya kian memuncak untuk menjaringkan gol kedua untuk Kelantan. Namun saya mengalami kecederaan lutut kiri selepas itu tetapi saya paksa juga bermain selama 10 minit dalam keadaan kesakitan. Sekarang lutut kiri saya masih lagi mengalami kesakitan dan fisioterapi pasukan sedang berusaha memberi rawatan terhadap kecederaan saya itu. 

“Peluang Kelantan untuk menang tetap ada kerana kita mempamerkan persembahan yang konsisten sejak beberapa perlawanan lalu. Kita akan turun bermain mati-matian walaupun bertemu dengan pasukan mana sekali pun,” katanya.

No comments:

Post a Comment