Saturday, April 2, 2011

KELANTAN MENANG BERGAYA 4 -1

Pemain Kelantan, Mohd Azyu Ikmal (kanan) cuba melepasi kekangan pemain pertahanan KL Sime Darby FC dalam perlawanan yang menyaksikan Kelantan menang 4-1.

KELANTAN 4
Mohd Faiz Shuhaimi (m-24)
Mohd Farhan Yaakob (m-60)
Khairul Izuan Rosli (m-67)
Mohd Azyu Ikmal Che Mohd Nor (m-70)

KL SIME DARBY FC 1
Mohd Syukur Saidin (m-90)

KOTA BHARU – Kelantan terus membuktikan kekebalannya beraksi di gelanggang sendiri setelah membelasah KL Sime Darby FC menerusi kemenangan 4-1 dalam aksi Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa, petang semalam.

Beraksi dihadapan hampir 300 penyokong setia, walaubagaimanapun KL Sime Darby FC terlebih dahulu mengejutkan pasukan The President Warriors pada m-13 menerusi rembatan kencang penyerangnya, Raslam Khan yang hampir menghasilkan gol angkara kesilapan penjaga gol Kelantan, Mohd Syazwan yang gagal menangkap kemas percubaan tersebut.

Pada m-24, Kelantan memperolehi gol pertama menerusi jaringan Mohd Faiz Shuhaimi. Berpunca sepakan percuma oleh Mohd Farhan Yaakob yang terkena palang, Mohd Faiz memanfaatkan situasi kelam-kabut didepan pintu gol dengan merembat kencang untuk menewaskan Nik Yus Saiddatul Suffien digawang gol pasukan pelawat.

Pada m-60, penyerang Kelantan, Mohd Farhan menghukum kesilapan penjaga gol KL Sime Darby FC yang gagal menangkap kemas rembatan Mohd Norhamizi Haron sebelum itu menerusi kuisan mudah untuk menghasilkan gol kedua Kelantan.

Tujuh minit kemudian, bekas pemain Harimau Muda, Khairul Izuan Rosli yang beraksi cemerlang dalam perlawanan ini merembat kencang untuk menghasilkan gol ketiga Kelantan setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Farhan diluar kotak penalti.

Pada m-70, pemain gantian, Mohd Azyu Ikmal Che Mohd Nor turut meletakkan nama dia antara senarai penjaring gol Kelantan dalam perlawanan ini apabila mudah menanduk masuk sepakan penjuru oleh Khairul Izuan.

Ketinggalan empat gol, jelas memberi tekanan kepada anak buah Mohd Nidzam Adzha Yusof untuk merapatkan jurang. Dua peluang terbaik mereka hadir pada m-75 menerusi percubaan Abdul Muiz Abdul Taib yang menyaksikan mudah diselamatkan Mohd Syazwan sementara rembatan Raslam pada m-82 pula sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Pada m-89, KL Sime Darby FC sekali kempunan untuk memperolehi gol pertama mereka apabila hantaran Raslam gagal ditampan kemas Ahmad Bukhari Termizi biarpun hanya berhadapan dengan Mohd Syazwan didepan pintu gol Kelantan.

Minit-minit akhir perlawanan, pasukan pelawat memperolehi gol saguhati menerusi jaringan Mohd Syukur Saidin yang mudah merembat masuk menewaskan Mohd Syazwan di pintu gol Kelantan.

No comments:

Post a Comment