Karathu (dua,kanan) menyampaikan amanat kepada pemain Kelantan dalam sesi latihan terakhir di Padang Mardi, Pasir Tumbuh,petang kelmarin.
KOTA BHARU – Andai ramai yang beranggapan pertemuan Kelantan menentang Harimau Muda ‘A’ di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini merupakan satu perlawanan yang cukup mudah untuk mengutip mata, ternyata ramalan tersebut meleset sama sekali.
Sebaliknya, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu awal lagi mengakui pertemuan menentang Harimau Muda pada malam ini merupakan ujian cukup getir bagi anak buahnya apatah lagi lawan yang dihadapi memiliki banyak pengalaman setelah berguru di Slovakia pada tahun lalu.
Dengan menampilkan beberapa bintang muda yang kian menyerlah seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohamad Muslim Ahmad, Syahrul Azwari Ibrahim dan Mahallli Jasuli sudah pasti pasukan bimbingan Ong Kim Swee bersedia menghadirkan igauan buruk kepada barisan pemain The Red Warriors pada perlawanan malam ini.
“Kita sebenarnya menentang sebuah pasukan kebangsaan yang menghimpunkan pemain terbaik daripada seluruh negara. Saya tidak memandang mudah perlawanan ini bahkan tetap akan menurunkan barisan terkuat. Saya menjangkakan kita akan diberi tentangan sengit pada perlawanan malam ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Pernah menewaskan Pahang dan T-Team serta mengikat keputusan seri dengan Perak dan KL Felda United FC, anda sendiri dapat menilai kekuatan pasukan ini sebenarnya. Dibarisi purata pemain yang berumur 18 hingga 22 tahun dan menduduki tangga pertengahan liga, ini merupakan satu pencapaian menarik walaupun pertama kali beraksi dalam liga domestik.
“Selepas berehat panjang, saya fikir kita perlu mengekalkan momentum kemenangan sementelah tiga pasukan iaitu KL Felda United, Selangor dan Perak kian memberi tekanan kepada kita. Jadi, kita perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan ini untuk menjarakkan kedudukan kita,” katanya.
Ditanya mengenai kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan, Karathu berkata, tidak banyak perubahan yang akan dilakukan dan posisi dijenteraserangan sudah pasti diisi pemain kebangsaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanturu.
“Dengan Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan Muhammad Khalid (Jamlus) terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan, saya tidak mempunyai pilihan selain meletakkan kedua-dua pemain itu diposisi serangan.
“Kita turun dengan misi untuk mencipta kemenangan dan saya mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia Kelantan untuk kembali memenuhi gelanggang keramat kita pada malam ini. Saya percaya kita berada dilandasan yang tepat untuk mencipta kemenangan ke atas Harimau Muda ‘A’ itu,” katanya.
Barisan kemungkinan Kelantan :
Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah, Mohd Nurul Azwan Roya, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.
No comments:
Post a Comment