Annuar (berdiri empat kanan) dan Mohd Fairose (berdiri kiri) dan sebahagian pemain Liga Super Kelantan menunjukkan pek edisi khas happy yang baru dilancarkan, semalam
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terus menerima suntikan semangat apabila menerima tajaan lumayan bernilai RM1.2 juta daripada happy selaku penaja utama The Red Warriors musim ini.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ketika melancarkan pek edisi khas happy – The Red Warriors khusus untuk para peminat dan penyokong setia bola sepak Kelantan dalam satu majlis di KB Mall, Kota Bharu, semalam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Naib Presiden Kafa, Datuk Ismail Md Noor, Pengurus Pemasaran happy Wilayah Pantai Timur, Mohd Fairose Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Alhamra Red Warriors (ARMY), B Sathianathan serta barisan pihak pengurusan dan pemain Liga Super Kelantan musim ini.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tajaan merangkumi nilai RM 1 juta diberikan dalam bentuk wang tunai sementara RM200,000 lagi dalam bentuk pengkongsian pendapatan secara bersama.
“Happy menjadi syarikat yang pertama muncul sebagai penaja utama TRW dalam bentuk penajaan yang besar. Kita amat berbesar hati apabila pihak happy sudi menaja kita sebanyak RM1.2 juta pada musim ini,” katanya pada sidang akhbar sejurus selepas majlis pelancaran produk terbaru happy tersebut.
“Pelancaran produk terbaru ini menandakan pasukan Kelantan muncul sebagai sebuah pasukan bola sepak pertama di negara ini yang mempunyai kad sim eksklusif. Sebagai penaja utama Kelantan musim ini, pihak happy dan Kafa akan bekerjasama lebih serius dalam membangunkan industri bola sepak di negeri ini.
“Selain daripada itu pihak happy juga turut bekerjasama dengan pihak Kafa melaksanakan program pencarian bakat baru dalam sukan bola sepak menerusi Akademi Alhamra Red Warriors yang akan bermula pada 9 April ini.
Annuar (tengah) menunjukkan replika pek edisi khas happy sambil diperhatikan oleh Ketua Pemasaran happy, Cheng Weng Hong (kiri) dan Mohd Fairose.
Menurutnya, program itu mensasarkan pencarian 240 pemain muda berbakat untuk diketengahkan sebagai pelapis kepada TRW dengan matlamat melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan bola sepak tempatan.
“ARMY ini adalah antara program yang digerakkan Kafa dengan kerjasama happy dalam usaha mengenal pasti bakat baru di negeri ini. Peringkat awal kita sasarkan pemilihan bakat baru di lima jajahan bermula di Kota Bharu pada 9 April ini.
“Bagi menjayakan sesi program pencarian bakat baru itu, seramai 18 jurulatih terbabit dan mereka akan mengikuti modul yang ditetapkan oleh ARMY bagi membentuk pemain berpotensi untuk menjadi pemain di akademi berkenaan.
“Permohonan yang diterima adalah diluar jangkaan kita sedangkan kita hanya memilih seramai 240 pemain berbakat dalam sesi pemilihan yang akan dijalankan di lima jajahan di negeri ini. Saya fikir ini merupakan satu permulaan yang baik bagi pembangunan bola sepak di negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment