KOTA BHARU – Juara Piala Sultan Ahmad Shah yang baru, Kelantan kini bersedia menanti kunjungan musuh tradisinya, Terengganu dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, walaupun dia tidak mengetahui mengenai kekuatan pasukan Terengganu musim ini namun beliau mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa pasukan kendaliannya tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran pasukan tetangga itu.
“Selepas berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Shah Alam tempohari, saya yakin Kelantan mampu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan malam ini berdasarkan persembahan baik anak buah saya pada Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Begitupun saya tetap menghormati keupayaan Terengganu yang mempunyai kekuatan tersembunyi namun pada masa yang sama saya tetap menanamkan keyakinan yang tinggi bahawa kita mampu mencatatkan kemenangan ke atas pasukan jiran itu.
“Saya mungkin menurunkan barisan pemain yang sama ketika mencatatkan kemenangan ke atas Selangor tempohari untuk perlawanan malam ini,” katanya.
Menurut Karathu, walaupun mencatatkan keputusan membanggakan dalam perlawanan pertama namun beliau sebenarnya masih belum dapat menilai kemampuan sebenar pemainnya memandangkan tidak sampai seminggu baru melatih pasukan ini.
Karathu menyatakan sesuatu kepada pemain Kelantan pada hari pertama beliau menjawat jawatan Ketua Jurulatih Kelantan
“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain dan saya berharap momentum itu dapat dikekalkan dalam perlawanan malam ini. Setiap perlawanan amat penting bagi kita dan kita tidak harus tercicir mata.
“Dalam memastikan hasrat mengutip tiga mata tercapai, saya akan memberi tumpuan kepada posisi pertahanan dan serangan bagi memastikan kita mampu mengutip tiga mata penuh.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada satu posisi sahaja manakala dua posisi lain kita abaikan. Dalam bola sepak, kita bermain sebagai satu unit pasukan dan kesemua posisi adalah penting, sebab itu kita perlu memastikan posisi pertahanan dan serangan kita juga berfungsi lebih efektif.
“Jika pertahanan kita bagus tetapi jentera serangan kita gagal berfungsi dengan baik, itu tidak memberi sebarang makna bagi kita untuk menjadikan kita sebuah pasukan yang disegani,” katanya.
Untuk rekod perlawanan liga musim lalu, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam aksi pertama di Kuala Terengganu manakala dalam aksi timbal balik di Kota Bharu, Kelantan mengalahkan Terengganu dengan jaringan 3-0.
No comments:
Post a Comment