AFFANDI HAMZAH
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menasihati penyokong setia bola sepak Kelantan tidak membawa sebarang objek terlarang termasuk mercun dan botol minuman ke dalam stadium pada perlawanan kedua Liga Super, pertemuan Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.
Timbalan Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah berkata, beliau berharap para penyokong Kelantan dapat menjaga disiplin dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan perlawanan bola sepak malam ini berlangsung dengan lancar.
“Perlawanan Kelantan menentang Terengganu sememangnya dinanti-nantikan oleh penyokong kita. Kita tidak mahu kejadian buruk berlaku dan kita juga tidak mahu Kafa dikenakan hukuman yang berat sekiranya terdapat segelintir penyokong Kelantan yang bertindak melanggar peraturan pertandingan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
“Justeru saya merayu kepada para penyokong untuk menjaga disiplin serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi semasa menyaksikan perlawanan malam ini. Kita juga berharap tidak ada bendera parti politik dikibarkan di dalam stadium nanti.
“Pihak Kafa juga menasihatkan pemegang tiket bagi tempat duduk berbumbung tidak membawa anak ke stadium bagi menyaksikan perlawanan ini. Tempat duduk di kawasan berkenaan begitu terhad dan kita tidak akan bertanggungjawab sekiranya pihak jawatankuasa pintu stadium tidak membenarkan pemegang tiket memasuki stadium sekiranya mereka membawa anak pada perlawanan malam ini,” katanya.
Menurut Afandi, pihak Kafa akan mula membuka kaunter tiket di perkarangan stadium tepat jam dua petang bagi membolehkan para peminat membeli tiket lebih awal.
“Harga tiket kekal sebagaimana musim lalu iaitu RM12 bagi tempat duduk terbuka dan RM25 bagi tempat duduk berbumbung. Kita galakan peminat membelinya lebih awal bagi mengelakkan berlaku kesesakan menjelang perlawanan bermula.
“Sementara bagi pemegang kad keahlian TRW pula, mereka boleh mendapatkan tiket di pejabat Kafa bermula jam 10 pagi hari ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment